Kerana pelapis muda, Tiara terbuka hati terbit filem baharu 

|

views

Melihat karya sentuhan pelapis baharu membuatkan produser filem dan pelakon, Puan Sri Tiara Jacquelina terbuka hati  untuk menerbitkan filem terbaharu.

Tiara berkata, filem arahan generasi muda berkembang dengan baik. Baginya, mereka punya berbakat besar dan punya daya tarikan tersendiri.

“Melihat mereka buat saya berkobar-kobar untuk menghasilkan filem semula. Lagipun, jauh di lubuk hati memang saya rindu mahu bikin filem. Namun, seperti yang kita semua sedia maklum, menghasilkan filem itu sangat berisiko tinggi.

“Sebab itulah selepas filem Puteri Gunung Ledang (PGL), saya cenderung menumpukan perhatian terhadap produksi yang berkaitan dengan pementasan teater.

“InsyaAllah, kita tengok dulu keadaan. Kalau kena dengan masanya dan sesuai, kita mungkin akan hasilkan filem pula,” katanya.

Menurut Tiara lagi, sejak dari zaman muda lagi dia berminat meneroka bisnes hiburan dan menjadi penerbit filem berbanding berlakon.

“Penglibatan saya sebagai pelakon sebenarnya  berlaku secara tidak sengaja. Waktu itu saya bertugas sebagai pengarah casting sebuah produksi filem Indonesia yang mencari pelakon dari Malaysia.

“Akhirnya saya pula ditawarkan berlakon oleh produsernya, Pak Mustal Nawawi. Awalnya saya menolak kerana tidak minat diarah-arah.

“Tetapi dia memberitahu saya, kalau saya sanggup ikat kontrak membintangi empat filem terbitannya, dia sanggup sanggup ajar saya selok-belok bisnes filem dan bagaimana menjadi produser filem,” katanya.

Tiara akhirnya setuju menyakan tiga filem iaitu Irisan-Irisan Hati pada 1988, Lukisan Berlumur Darah (1988) dan Siluman Kera (1988).

Apa jadi dengan sebuah lagi filem? Sambil tertawa, Tiara berkata, dia tidak menyiapkan filem yang keempat itu.

“Saya beritahu Pak Mustal, saya tidak sanggup lagi dan mahu pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Pesona Tiara di pementasan Puteri Gunung Ledang mendapat pujian ramai penonton.
Pesona Tiara di pementasan Puteri Gunung Ledang mendapat pujian ramai penonton.

Dia bagaimanapun mengakui menjadi produser filem lebih memberikan kepuasan kepada dirinya.

“Sebagai produser, saya mampu bersuara dan menjadi seorang penggerak filem. Tanggungjawab saya juga lebih besar.

“Macam waktu saya bawa filem PGL ke Academy pada 2004. Tuhan sahaja yang tahu bagaimana azab dan sukarnya.

“FINAS juga tidak tahu bagaimana cara untuk mencalonkan PGL di anugerah tersebut dan tiada satu pun informasi yang memudahkan kita untuk melakukannya. Ia sangat susah.

“Sukarnya kerana filem kita tidak punya sebarang rekod dengan pengedar-pengedar filem antarabangsa. Yang mereka biasa dengar adalah Thailand, Vietnam dan Indonesia kerana filem-filem dari negara jiran ini pernah ditayangkan di arena antarabangsa serta bertanding dalam pencalonan Academy,” katanya.

PGL menjadi bukti betapa cintanya Tiara terhadap dunia penerbitan filem bahkan bakatnya sebagai pelakon diiktiraf pelbagai pihak.
PGL menjadi bukti betapa cintanya Tiara terhadap dunia penerbitan filem bahkan bakatnya sebagai pelakon diiktiraf pelbagai pihak.

Sambung Tiara, berikutan situasi itu pihaknya terpaksa tebalkan muka dan merendahkan diri untuk menghantar sendiri filem ke sana.

“Kita ke Los Angeles untuk berjumpa dan minta bantuan pelbagai ejen PR serta menjelaskan PGL karya pertama dari Malaysia yang berbajet besar.

“Akhirnya filem kita dipertimbangkan untuk disenarai pendekkan. Kita tayang dan cuba lobi untuk wakil penganjur Academy tengok dan untuk memastikan filem ini dapat ditayangkan kepada mereka haruslah memiliki jumlah juri yang minimal,” katanya.

Antara babak dalam Puteri Gunung Ledang
Antara babak dalam Puteri Gunung Ledang

Proses tersebut bagi Tiara sungguh mengecewakan dan dia berharap selepas ini laluan untuk filem-filem Malaysia ke Academy akan menjadi lebih mudah.

“Secara peribadi, saya fikir kita harus wujudkan festival Malaysia untuk perkenalkan budaya, muzik, makanan, pakaian dan bahasa kita.

“Penting untuk orang kenal Malaysia dan tahu tentang kita. Sayang sekali, selepas PGL tidak ada filem kita yang dibawa  ke Academy.  Jurangnya sangat jauh. Kalau sayalah pihak FINAS pada masa itu, saya akan bentangkan 10 filem kita untuk di bawa ke sana.

“Jika setiap tahun ada filem dari Malaysia bertanding, pasti orang di sana akan terbiasa dengan filem kita. Selepas bertahun-tahun, barulah filem Bunohan arahan Din Said mewakili Malaysia,” katanya. – Getaran, 30 November 2021

Gambar: Instagram @tiarajacquelina dan @pglenfiniti

Berkaitan ⇢