COVID: Lebih 70 peratus kes kematian di Terengganu individu tidak pernah divaksin

|

views

KUALA TERENGGANU –  Seramai 595 individu atau 77.5 peratus dari keseluruhan 768 kes kematian akibat COVID-19 di Terengganu adalah individu yang tidak pernah menerima suntikan vaksin.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata daripada 768 kematian yang direkodkan itu, 425 kes atau 55 peratus adalah lelaki manakala 343 kes atau 45 peratus wanita, dengan 658 orang atau 85.7 peratus daripada jumlah kematian itu mempunyai faktor komorbid.

“Peratus kematian mengikut umur paling tinggi adalah dalam kalangan individu yang berusia 60 hingga 69 tahun iaitu sebanyak 25.3 peratus, diikuti individu dalam lingkungan usia 70 hingga 79 tahun (23.6 peratus) dan 50 hingga 59 tahun (17.2 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara faktor peningkatan kematian itu adalah kelewatan mendapatkan rawatan, pesakit yang mempunyai faktor komorbid berganda (dua dan ke atas), belum mendapatkan vaksinasi dan pesakit yang berumur lebih 50 tahun.

Sejak kebenaran rentas negeri bermula 11 Okt lepas dan Terengganu beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara, Jabatan Kesihatan Negeri telah menjangkakan berlaku peningkatan kes COVID-19 susulan pergerakan masuk ahli keluarga yang pulang ke kampung dan aktiviti pelancongan.

Dr Kasemani berkata bermula hujung Oktober sehingga 30 Nov lepas, Terengganu telah mencatat peningkatan kemasukan kes COVID-19 ke hospital sebanyak 24.9 peratus berbanding tempoh sama sebelum itu (September hingga Oktober), dengan penggunaan katil COVID-19 di hospital mencecah 59.7 peratus.

“Sebanyak 84.4 peratus kemasukan ke hospital adalah pesakit bagi kategori 3, 4 dan 5 dan ini menyumbang kepada penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) terkini sebanyak 72.5 peratus. Selain itu, sejak hujung Oktober juga, 39.5 peratus kes yang dimasukkan ke ICU adalah individu yang tidak divaksin,” katanya.

Sehingga kini, 69.2 peratus daripada jumlah populasi di Terengganu telah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 dan 92.6 peratus dalam kalangan populasi dewasa di negeri ini menerima dos primer.

Dr Kasemani berkata bagi suntikan dos penggalak pula, sehingga kini seramai 31,397 individu sahaja telah disuntik dan pencapaian dos penggalak itu amat rendah hanya 3.4 peratus jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

Berkaitan ⇢