4 sekeluarga ditetak sebab tegur berkaitan hutang

|

views

BELUARAN – Polis mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes menetak empat sekeluarga di sebuah ladang di Kampung Cahaya Baru pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, mereka merupakan anak beranak berusia 23 dan 51 tahun.

Difahamkan, kejadian berdarah itu berlaku selepas salah seorang mangsa wanita menegur kakak suspek berkaitan hutang sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

“Situasi berkenaan mengakibatkan suspek yang berusia 23 tahun berang dan menyerang mangsa dengan sebilah parang.

“Suami wanita itu yang cuba menghalang perbuatan tersebut turut ditetak di bahagian tangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Kasim memberitahu, penyelia ladang yang menyedari kejadian itu kemudian membawa mangsa ke pejabat untuk mengelakkan keadaan menjadi semakin tidak terkawal.

“Suspek kemudiannya pulang ke rumah sebelum datang semula bersama bapanya dan menetak tiga lagi ahli keluarga mangsa sehingga parah sebelum lari.

“Keempat-empat mangsa terbabit dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan stabil,” katanya.

Original Article

Berkaitan ⇢