Isu air kekuningan

|

views

BANDAR SERI BEGAWAN  – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan ingin memaklumkan orang ramai mengenai isu warna air kekuningan di sebahagian kawasan Daerah Brunei dan Muara pada ketika ini.

Untuk makluman, sejak beberapa hari kebelakangan ini kualiti air mentah Sungai Tutong tidak konsisten dan mengandungi air berwarna gelap (kehitaman).

Perubahan kualiti air mentah berpunca daripada hujan berpanjangan pada ketika ini yang menyebabkan banyak bahan organik dan tanah mengalir ke hilir sungai melalui aliran permukaan tanah (surface-runoff) yang menyebabkan kandungan mineral dan bahan organik menjadi tinggi.

Pihak JKR juga telah meningkatkan usaha bagi menangani isu air berwarna berkenaan dengan melaksanakan pelbagai kerja-kerja operasi seperti memantau kualiti air mentah dan air proses setiap dua jam di loji rawatan air; memantau kualiti air di tangki-tangki simpanan air dan juga rangkaian paip air setiap hari dan memastikan segala tangki penapisan, kolam penjernih, dos kimia, pam-pam dan sebagainya di loji rawatan air berfungsi dengan baik.

JKR juga ingin menasihati orang ramai terutamanya yang mempunyai tangki rumah dan penapis air persendirian untuk memastikan peralatan tersebut sentiasa dalam keadaan bersih dengan melakukan rutin ‘flushing’ dan ‘backwashing’.

Bagi orang ramai yang tidak mempunyai tangki rumah dan penapis, disarankan untuk menghubungi Talian Darussalam 123, Facebook JKR Brunei Darussalam atau Instagram ‘JKRBRUNEI’.

Dalam kesempatan ini, pihak JKR ingin menasihatkan orang ramai supaya memasak air bersih sebelum digunakan untuk masakan atau minuman sebagai langkah berjaga-jaga tambahan dan memohon kerjasama semua pihak untuk berjimat cermat di dalam penggunaan air.

Berkaitan ⇢