Inspektor polis mengamuk ditahan

|

views

GEORGE TOWN – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor diberkas selepas bertindak agresif dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis dalam kejadian di Lebuh Queen di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima aduan orang awam berhubung kejadian seorang lelaki yang sedang mengamuk disyaki berada di bawah pengaruh alkohol kira-kira pukul 1.30 pagi.

Menurutnya, sebaik pihak polis tiba di lokasi, pihaknya mendapati seorang lelaki berada dalam keadaan agresif dan enggan memberi kerjasama.

“Semasa proses memujuk suspek untuk berhenti membuat bising, suspek telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis dan enggan memberi kerjasama.

“Ekoran itu, pihak polis telah meminta suspek untuk pergi ke balai polis namun suspek telah bertindak agresif dan melawan pihak polis mengakibatkan suspek cedera pada kedua-dua belah siku.

“Hasil semakan mendapati suspek sedang menjalani hukuman tahan kerja atas kesalahan tatatertib,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Soffian memberitahu, suspek kini ditahan reman selama tiga hari sehingga 6 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

“Suspek kini ditahan di Klinik Pakar Psikiatrik Jalan Perak untuk rawatan. Siasatan lanjut masih dijalankan,” tambahnya.

Original Article

Berkaitan ⇢