Pelajar lelaki 14 tahun maut basikal dirempuh kereta

|

views

TELUK INTAN – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun terbunuh apabila basikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Batu 6, Jalan Changkat Jong di sini hari ini.

Kejadian sekitar pukul 7 pagi itu mengorbankan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kandi yang maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke sekolah dari rumahnya di Kampung Glouster Batu 6, Jalan Changkat Jong.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, basikal ditunggang mangsa telah keluar dari simpang sebelah kanan dan masuk ke laluan kereta Perodua Alza.

“Tindakan mangsa yang keluar secara melulu menyebabkan pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa di bahagian hadapan.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak dan terjatuh di tepi jalan. Mangsa yang parah disahkan maut di tempat kejadian. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat selepas ujian saringan Covid-19 dijalankan. ,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemandu kereta yang juga seorang guru wanita di sebuah sekolah swasta berusia 36 tahun tidak mengalami kecederaan.

Original Article

Berkaitan ⇢