ADUN Pemanis keluar PKR, sokong kerajaan gabungan baharu

|

views

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr. Chong Fat Full, hari ini mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi ADUN bebas untuk menyokong kerajaan gabungan baharu yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat pada pagi ini selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk kepentingan rakyat dan kestabilan politik di negeri ini.

“Bukan keputusan mudah, bukan ikut hati tetapi keputusan yang matang, sesudah berbincang degan penyokong, pengundi, keluarga dan kawan-kawan.

“Saya memikirkan rakyat diutamakan, jika sesuatu keputusan tidak dibuat, yang merana adalah rakyat. Tidak boleh biarkan Johor jadi macam ini,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Dr. Chong yang menyertai PKR pada tahun 2009 berkata, beliau akan memaklumkan mengenai keputusannya kepada PKR mengenai perkara tersebut

Perkembangan ini menjadikan kerajaan negeri yang baharu memperoleh majoriti mudah kerusi DUN sebanyak 29 berbanding 27 milik Pakatan Harapan (PH).

Pada PRU-14, beliau menang dengan majoriti 363 undi apabila memperolehi 8,304 undi dengan menewaskan Koo Shiaw Lee dari BN yang memperolehi 7,941 dan Normala Sudirman dari PAS yang mendapat 2,151 undi.

Berkaitan ⇢