Zuraida lantik PKT di Selangor tanpa berunding dengan UMNO dan PAS

|

views

Tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin melantik individu dalam Penggerak Komuniti Tempatan (PKT) tanpa berunding dengan UMNO dan Pas disifatkan tikam belakang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, pelantikan tanpa berbincang dengan mereka itu juga bukti tiada kesepakatan yang boleh dibawa oleh mereka kepada Muafakat Nasional.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, pihaknya difahamkan, hampir keseluruhan jawatan dalam PKT telah diisi yang melibatkan tiga buah negeri bukan dibawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Pelantikan tanpa perbincangan ini jelas tidak menghormati kedua-dua pihak. Oleh demikian, kita telah menghantar surat usul menolak butiran peruntukkan PKT kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pagi tadi.

“Kalau hendak berkawan, biarlah jujur, jangan tikam dari belakang. Jangan hina UMNO dan Pas, malah sekiranya begini perangai Bersatu, bagaimana hendak bergabung di Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Noh yang juga merupakan Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mengadakan lawatan ke kilang pemprosesan palet biomas, Detik Aturan Sdn. Bhd. di sini yang turut dihadiri Pengarah Eksekutifnya, Md. Arfizal Md. Ariffin.

Dalam pada itu, Noh menegaskan, PKT bukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan berperanan seperti ahli majlis daerah bukannya seperti Penggerak Komuniti Negara.

“Zuraida (Ahli Majlis Tertinggi Bersatu) telah membuat lantikan tanpa berbincang. Contohnya di Ampang, saya difahamkan seramai 18 telah dilantik daripada 24 individu dan kebanyakannya terdiri sama ada ahli Bersatu atau bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Mereka yang dilantik ini menerima elaun sebanyak RM2,000 sebulan dan peruntukkan RM10,000 setahun menerusi peruntukkan Belanjawan 2021 sebanyak RM8.5 juta,” ujarnya. UTUSAN ONLINE

Berkaitan ⇢