‘Microsleep’ membunuh, KKM beri tips pemanduan selamat

|

views

Pernah mengalami keadaan rasa mengantuk yang tidak terkawal ketika memandu dalam perjalanan jauh atau terlelap sehingga terkeluar dari laluan pemanduan asal?

Situasi itu dinamakan ‘microsleep’, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah keadaan di mana kita akan tertidur hingga 30 saat tanpa kita sedari.

Antara simptom termasuklah tersengguk-sengguk, kelopak mata semakin tertutup atau kuyu, mata terkebil-kebil, dan lupa kejadian di waktu-waktu akhir.

Beberapa penyebab terjadinya ’microsleep’ antaranya kurang tidur, terlalu penat, jadual tidur yang tidak menentu, atau badan cuba melawan rasa mengantuk.

Microsleep’ jika terjadi semasa memandu bukan sahaja boleh membahayakan diri sendiri, malah penumpang lain dalam kenderaan anda termasuk ahli keluarga sendiri.

Lebih malang, risiko mengakibatkan kemalangan maut juga boleh terjadi kepada kenderaan lain yang berdekatan.

Bagi mencegah tragedi buruk, beberapa tips diberi KKM untuk pemandu mencegah ‘microsleep’.

“Dapatkan rehat yang secukupnya sebelum anda memulakan perjalanan jarak jauh.

“Berhenti di kawasan rehat dan rawat jika mengantuk,” catat KKM di Twitter.

“Jika anda adalah penumpang, temani pemandu. Bersembanglah agar pemandu tidak leka atau pun mengantuk.”

Pemain bola sepak kebangsaan Muhammad Syafiq Ahmad semalam terlibat dalam kemalangan di Pulau Pinang yang mengorbankan anaknya berusia 22 hari, ibu mentua berusia 56 tahun dan seorang pembantu rumah.

Muhammad Syafiq dilapor memandu dari Johor Bahru membawa isterinya yang sedang berpantang ke rumah mentuanya di Pendang, Kedah.

Siasatan polis mendapati penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dipercayai terlelap sebelum Toyota Vellfire dipandunya hilang kawalan dan terbabas berhampiran Plaza Tol Jawi, pagi Ahad.

Berkaitan ⇢