Facebook mungkin terpaksa jual Instagram, WhatsApp

|

views

WASHINGTON: Facebook Inc. mungkin terpaksa menjual dua aset berharganya iaitu WhatsApp dan Instagram selepas Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) (FTC) dan hampir semua negeri di negara berkenaan memfailkan tuntutan mahkamah terhadap syarikat media sosial itu.

Tuntutan mahkamah tersebut adalah mengenai dakwaan Facebook menggunakan strategi ‘beli atau kuburkan’ untuk menewaskan pesaing dan memastikan mereka tidak dapat berkembang.

Dengan dua tuntutan mahkamah tersebut, Facebook menjadi syarikat teknologi besar kedua yang menghadapi cabaran undang-undang selepas Jabatan Kehakiman AS menyaman syarikat pemilik Google, Alphabet Inc. Oktober lalu atas alasan menggunakan pengaruh pasaran bagi menangkis saingan.

Aduan yang dilaporkan kelmarin menuduh Facebook membeli pesaing terdekatnya dengan tumpuan diberikan terhadap pembelian aplikasi perkongsian foto, Instagram dengan harga AS$1 bilion (RM4.06 bilion) pada 2012 dan pemerolehan WhatsApp pada harga AS$19 bilion (RM77.18 bilion) pada 2014.

Pengawal selia negeri dan Persekutuan menyifatkan pengambilalihan tersebut tidak boleh diselesaikan, langkah yang mungkin menimbulkan cabaran undang-undang yang panjang kerana perjanjian tersebut telah disahkan FTC.

Peguam New York, Letitia James yang mewakili gabungan 46 buah negeri, Washington DC dan Guam berkata, Facebook telah menggunakan pengaruh dan monopoli selama satu dekad untuk menghancurkan pesaing lebih kecil, mematikan persaingan melibatkan pengguna.

Alabama, Georgia, South Carolina dan South Dakota bagaimanapun tidak mengambil bahagian dalam tuntutan tersebut.
James turut mengatakan Facebook memperoleh pesaingnya sebelum syarikat tersebut memberi ancaman kepada kedudukan Facebook.

Peguam umum Facebook, Jennifer Newstead menyifatkan tiada undang-undang antimonopoli untuk menghukum ‘syarikat yang berjaya’ sambil mengatakan WhatsApp dan Instagram telah pun berjaya selepas Facebook melabur berbilion dolar.

Newstead turut menimbulkan keraguan mengenai dakwaan Facebook mengundang bahaya dengan alasan pengguna mendapat manfaat daripada pemerolehan aplikasi tersebut apabila WhatsApp boleh digunakan secara percuma dan aplikasi lain termasuk YouTube, Twitter dan WeChat juga berjaya tanpa akses ke platform pembangunnya.

Facebook bagaimanapun tidak memberi respon terhadap laporan berkenaan.

Bulan lalu, Facebook mengatakan akan membeli syarikat pemula perkhidmatan pelanggan Kustomer dalam pemerolehan yang menurut Wall Street Journal bernilai AS$1 bilion (RM4.06 bilion).

Syarikat tersebut juga membeli Giphy, laman web popular untuk membuat dan berkongsi gambar animasi atau GIF, Mei lalu. – AGENSI

Berkaitan ⇢