Rogol kanak-kanak 12 tahun: Reman 10 remaja dilanjutkan

|

views

KEMAMAN: Perintah tahan reman kesemua 10 remaja lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes rogol murid tahun enam di dua buah rumah di daerah ini dilanjutkan empat hari lagi, bermula esok.

Perintah itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Sesyen Kemaman, Masni Hajar Ghazali di sini hari ini bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang berusia antara 13 tahun hingga 19 tahun tiba di pekarangan mahkamah berkenaan kira-kira pukul 9.24 pagi.

Kesemua mereka ditahan reman lima hari bermula Rabu lepas.

Dalam kejadian pada 6 hingga 7 Disember lalu, kanak-kanak berusia 12 tahun itu mendakwa dirogol 10 lelaki termasuk seorang kenalannya yang baru dikenali dua hari menerusi aplikasi WhatsApp.

Kejadian terbongkar selepas mangsa yang tidak pulang ke rumah selama dua hari, didesak ahli keluarganya menceritakan keadaan sebenar sebelum membuat laporan polis.

Hasil pemeriksaan di Hospital Kemaman mengesahkan terdapat kesan koyakan pada alat sulit mangsa.


Berita sebelumnya:

Kanak-kanak perempuan ‘diratah’ lebih 10 lelaki

Kanak-kanak berusia 12 tahun mendakwa dirogol 15 lelaki termasuk seorang kenalannya yang baharu dikenali dua hari menerusi aplikasi WhatsApp, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa berusia 12 tahun itu mendakwa dirogol lelaki berusia 12 hingga 19 tahun antara jam 4 petang dan 3 pagi.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 4 pagi selepas mangsa berusia 12 tahun menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada kenalan lelaki yang mengajaknya keluar.

Sumber berkata, suspek kemudian datang ke rumah nenek mangsa di Kijal bersama lima rakannya lalu membawa mangsa pergi ke rumahnya sebelum mendakwa diraba dan dirogol kumpulan remaja berkenaan.

“Mangsa meminta suspek menghantarnya pulang, namun suspek membawa mangsa ke salah sebuah kediaman lain terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi kediaman pertama lalu dirogol,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu terbongkar apabila ahli keluarganya menyedari mangsa tidak pulang ke rumah selama dua hari.

“Setelah didesak, mangsa akhirnya menceritakan kejadian sebenar yang menimpanya.

“Sebaik mengetahui perkara itu, mangsa dibawa membuat laporan polis pada Selasa,” katanya.

Bertindak daripada laporan dibuat, katanya, pihak polis menahan 10 lelaki termasuk seorang penganggur berusia 19 tahun bagi membantu siasatan.

“Kesemua yang ditahan petang semalam telah direman sehingga Ahad ini. Pihak polis masih mengumpul maklumat mengenai lima lagi suspek bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hanyan berkata, hasil pemeriksaan dijalankan ke atas mangsa di Hospital Kemaman mendapati terdapat kesan koyakan pada bahagian kemaluan mangsa.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol.

Berkaitan ⇢