Ahli parlimen hadir ke Dewan Rakyat pakai PPE, Ahmad Maslan label kerajaan goyah

|

views

Kehadiran ahli parlimen di Dewan Rakyat dengan mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) membuktikan ketidakstabilan pentadbiran sedia ada.

Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, walaupun menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO), ahli parlimen berkenaan terpaksa hadir bagi proses pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa.

“Undi #DewanRakyat. Menteri Sumber Manusia & Kesihatan dan satu pembangkang, #Tapah, #Tenggara dan #Batu hadir dengan pakaian #PPE.

“Ini kerana kerajaan tak stabil dengan majoriti 1 (111+1),” katanya di media sosial.

Hari ini, terdapat sebilangan ahli parlimen yang dikenakan HSO hadir ke Dewan Rakyat bagi mengikuti proses pengundian.

Jelas Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, kelonggaran itu diberikan selepas mendapat kelulusan dan pertimbangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, Ahmad Maslan menggesa agar pilihan raya akan datang diadakan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Katanya, ia tidak mustahil memandangkan terdapat sebilangan negara telah melakukan pilihan raya dengan pematuhan SOP Covid-19.

Berkaitan ⇢