Penubuhan Majlis Presiden: UMNO tidak sertai parti PN tetapi dukung kerajaan PN – Dr Asyraf

|

views

Semalam parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan satu Majlis Presiden yang akan dianggotai oleh ketua-ketua parti masing-masing.

Berkaitan hal tersebut maka timbul persoalan apakah ini bermakna UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah berubah pendirian untuk menyertai PN?

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan bahawa Majlis Tertinggi UMNO dan Dewan Tertinggi BN telah membuat keputusan yang jelas bahawa kita mendokong Kerajaan PN sehingga PRU-15 dan tidak sesekali bersetuju untuk menyertai PN sebagai salah satu parti komponen.

“Setakat ini Parti PN hanya dianggotai PPBM, PAS, STAR dan SAPP, manakala Kerajaan PN adalah sebuah kerajaan yang ditubuhkan atas persefahaman 12 parti politik termasuk UMNO dan tiga parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan PBRS; Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS) dan Parti Perikatan Nasional (PPBM, PAS, STAR dan SAPP),” ujarnya dalam satu kenyataan berkaitan isu tersebut.

Katanya, Majlis Presiden Kerajaan PN sememangnya dicadangkan sejak dari awal oleh UMNO ketika pembentukan Kerajaan PN pada bulan Mac 2020, tetapi hanya dilaksanakan sekarang.

“Tujuannya untuk memastikan apa jua dasar-dasar penting negara dibincangkan terlebih dahulu dengan rakan-rakan kongsi yang terdiri daripada parti-parti politik yang bersepakat membentuk kerajaan ini.

“Majlis Presiden Kerajaan PN mampu mengelakkan perbezaan dan pertelingkahan pandangan terhadap dasar-dasar penting yang diperkenalkan kerajaan seperti inisiatif kerajaan mahukan pengisytiharan darurat yang tidak dirujuk kepada UMNO hingga mencetuskan pergeseran di kalangan parti-parti dalam kerajaan PN.

“Juga Majlis Presiden Kerajaan PN boleh dijadikan platform untuk presiden parti-parti yang mendokong Kerajaan PN menyuarakan pendirian parti secara rasmi untuk diambil kira dan diambil tindakan oleh Kerajaan PN. Sebagai contoh, pendirian UMNO dan BN membawa suara rakyat dalam isu KWSP dan moratorium.”

Jelas Dr Asyraf, kerjasama UMNO dan BN dengan PN untuk PRU-15 nanti banyak bergantung kepada soal persefahaman dalam pengagihan kerusi.

“Ini bermakna pengagihan kerusi tidak lagi berasaskan perbincangan UMNO dengan PAS tetapi BN dengan PN kerana PAS sudah secara rasmi menyertai PN sebagai parti komponennya,” katanya lagi.

Dalam laporan semalam, mesyuarat Majlis Presiden PN telah dipengerusikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri oleh ketua-ketua parti iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Profesor Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Hadir sama, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili; Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Haji Awang Tengah; Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup dan Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Edward Dagul.

Selain itu, Naib Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Paul Igai; Setiausaha Agung MIC, Datuk Asojan Muniyandy dan Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi. – UMNO Online

Berkaitan ⇢