UMNO, BN bincang agihan kerusi dengan PN, bukan lagi PAS – Asyraf Wajdi

|

views

Perbincangan mengenai pengagihan kerusi pilihan raya di antara UMNO dan PAS tidak lagi membabitkan dua parti itu kerana PAS sudah secara rasmi menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai parti komponen, kata Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketua Pemuda UMNO yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) menjelaskan, kerjasama UMNO dan BN dengan PN untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti banyak bergantung kepada soal persefahaman dalam pengagihan kerusi.

“Ini bermakna pengagihan kerusi tidak lagi berasaskan perbincangan UMNO dengan PAS, tetapi BN dengan PN kerana PAS sudah secara rasmi menyertai PN sebagai parti komponennya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Kenyataan beliau mengundang persoalan mengenai kerjasama politik UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) yang berasaskan piagam dimeterai pada September 2019.

Asyraf memberi penjelasan berkenaan bagi menjawab persoalan yang tercetus, sama ada UMNO dan BN sudah berubah pendirian untuk menyertai PN.

“Ramai bertanya apa keperluan ditubuhkan Majlis Presiden Kerajaan PN? Apakah ini bermakna UMNO dan BN sudah berubah pendirian untuk menyertai PN?,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Dewan Tertinggi BN sudah membuat keputusan jelas mendokong kerajaan PN sehingga PRU-15 dan tidak sesekali bersetuju untuk menyertai PN sebagai komponen.

Setakat ini, katanya, PN hanya dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Beliau berkata, kerajaan PN pula ditubuhkan atas persefahaman 12 parti politik, termasuk UMNO dan tiga parti komponen BN, iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Selain itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti komponen dalam PN, iaitu BERSATU, PAS, STAR dan SAPP.

“Majlis Presiden Kerajaan PN sememangnya dicadangkan sejak awal oleh UMNO ketika pembentukan kerajaan PN pada Mac 2020, tetapi hanya dilaksanakan sekarang.

“Tujuannya untuk memastikan apa jua dasar-dasar penting negara dibincangkan terlebih dahulu dengan rakan kongsi yang terdiri daripada parti-parti politik yang bersepakat membentuk kerajaan ini,” katanya.

Asyraf berkata, Majlis Presiden PN mampu mengelakkan perbezaan dan pertelingkahan pandangan terhadap dasar penting yang diperkenalkan kerajaan.

Ia, katanya, seperti inisiatif kerajaan mahukan pengisytiharan darurat yang tidak dirujuk kepada UMNO sehingga mencetuskan pergeseran dalam kalangan parti dalam kerajaan PN.

“Majlis Presiden Kerajaan PN juga boleh dijadikan platform untuk presiden parti yang mendokong kerajaan PN, menyuarakan pendirian parti secara rasmi untuk diambil kira dan diambil tindakan oleh kerajaan PN,” katanya.

Beliau memberi contoh pendirian UMNO dan BN dalam isu pengeluaran simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium bayaran balik pinjaman.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Majlis Presiden Kerajaan PN akan mengadakan pertemuan lebih kerap, dengan mesyuarat pertamanya pada awal tahun depan.

Pertemuan pertama itu akan mendengar taklimat mengenai kedudukan ekonomi semasa negara, pengurusan COVID-19 dan penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Berkaitan ⇢