30 ditahan adakan parti liar di Bukit Tinggi

|

views

BENTONG: Polis menahan 30 orang terdiri daripada 29 warga tempatan dan seorang warga asing yang mengadakan parti liar di sebuah banglo di Bukit Tinggi dekat sini semalam.

Ketua Polis daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, operasi khas sempena sambutan hari Krismas pada pukul 4.45 pagi itu turut menemukan dadah jenis methamphetamine, ketamine dan ganja bernilai RM3,750.

“Seramai 30 orang ditahan iaitu terdiri daripada 17 lelaki dan 13 wanita berumur lingkungan 20 hingga 35 tahun.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati 15 lelaki dan 10 wanita positif dadah jenis methamphetamine manakala seorang wanita positif ketamine,” katanya di sini hari ini.

Menurut Zaiham, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen.

Katanya, kesemua suspek direman sehingga 31 Disember bermula semalam untuk siasatan lanjut.

“Kesemua 29 warganegara tempatan masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 di bawah Akta 342 (Peraturan-Peraturan) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988)kerana menjalankan aktiviti yang menyebabkan orang ramai hadir sehingga menyukarkan penjarakan fizikal.

“Bagi warganegara asing pegawai penyiasat akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk dituduh di mahkamah,” ujarnya.

Berkaitan ⇢