Takut tercicir, PAS diminta pilih bersama MN atau PN kata MB Perak

|

views

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad meminta PAS memaklumkan hala tujunya dengan jelas sama ada memilih untuk bersama Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN).

Katanya, ia bagi mengelakkan situasi seperti di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, September lalu di mana PAS tercicir daripada gabungan.

“Semasa PRN Sabah, di Sabah tidak ada MN, di Sabah hanya ada PN. Sebab itu, akhirnya kita dapati PAS tercicir. Ia barangkali mengharapkan MN, sedangkan di Sabah tak ada MN, tak ada (kerjasama) PAS dengan UMNO di Sabah.

“PAS sepatutnya pada waktu itu berunding dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebab ia di dalam PN. Ada PN di Sabah.

“Kalau tak ada hala tuju jelas, takut PAS tercicir, macam yang berlaku di Sabah. Jadi, PAS kena jelaskan,” katanya.

Selain itu, Saarani berkata, penjelasan pendirian PAS juga dapat memudahkan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuat perancangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO, Tajuddin perlu tahu mana-mana kawasan yang terlibat secara langsung dalam sebarang bentuk kerjasama,” kata Saarani.

Sabtu lalu, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, PAS perlu membuat keputusan segera sama ada mahu bersama dengan MN atau PN menjelang PRU15.

Ini kerana, setakat ini, parti itu masih belum mempunyai pendirian yang jelas mengenai kerjasama mereka untuk menghadapi PRU15.

Berkaitan ⇢