PN lantik 14 pengerusi badan perhubungan negeri

|

views

Seramai 14 Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) Perikatan Nasional (PN) hari ini dilantik, termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi BPN Johor.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan di Facebook beliau, memaklumkan semua lantikan dibuat oleh Muhyiddin yang juga Pengerusi PN selepas bermesyuarat bersama Majlis Tertinggi PN.

“Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula dipilih mengetuai BPN Terengganu, manakala Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dilantik sebagai Pengerusi BPN Kelantan.

“Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi BPN Selangor dan Timbalan Presiden BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Pengerusi BPN Perak,” katanya.

Beliau berkata mereka yang lain adalah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor (Kedah), Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor (Sabah), Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah (Pahang).

Selain itu, Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith (Negeri Sembilan); Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Shabudin Yahaya (Pulau Pinang).

Pengerusi PN Perlis adalah Pesuruhjaya PAS negeri itu, Mohd Shukri Ramli; EXCO Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Melaka); Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (Sarawak) dan Setiausaha Kerja BERSATU, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya (Wilayah Persekutuan). – BERNAMA

Berkaitan ⇢