MKT UMNO muktamadkan esok sama ada pemimpin parti keluar kerajaan, kata Ahmad Maslan

|

views

Sebarang keputusan mengenai Ahli Parlimen UMNO diarah melepaskan jawatan dalam kerajaan dan agensi berkaitan kerajaan (GLC) sebelum bulan depan akan dimuktamadkan esok oleh Majlis Kerja Tertinggi parti, kata Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan.

Beliau enggan mengesahkan Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan arahan itu pada mesyuarat bersama ketua bahagian UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra yang berakhir sebentar tadi.

Beliau yang tidak menafikan laporan itu berkata, ia perkara yang perlu dimuktamadkan MKT UMNO.

“Itu hanya laporan (media). Apa-apa yang kita bincang tadi, kita akan bawa ke Majlis Kerja Tertinggi. Jadi, keputusan muktamad, apa juga akan dibincangkan MKT esok malam,” katanya.

Beliau berkata, pada mesyuarat itu, ketua-ketua bahagian UMNO sekali lagi menolak kerjasama dengan DAP.

Ditanya sama ada kerjasama dengan PAS akan diperkukuhkan, Ahmad berkata, Zahid dan pimpinan tertinggi UMNO lain akan menemui Presiden PAS, Abdul Hadi Awang petang ini.

Terdahulu sumber memberitahu Zahid meminta Ahli Parlimen parti itu melepaskan jawatan dalam kerajaan dan agensi berkaitan kerajaan (GLC) sebelum bulan depan supaya pilihan raya umum boleh diadakan secepat mungkin.

Menurut sumber yang juga ketua bahagian dari Selangor dan enggan dikenali itu, Zahid berkata UMNO tiada pilihan kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal memahami hati nurani rakyat mahukan pembaharuan dan reformasi dalam pentadbiran.

Mengulas dakwaan pemecatan Annuar Musa sebagai setiausaha Agung BN, Ahmad berkata, Ahli Parlimen Ketereh itu tidak dipecat sebaliknya digantikan termasuk jawatan dalam Muafakat Nasional (MN).

“Beliau tidak dipecat, beliau diganti. Biasanya setiausaha agung UMNO ini juga sebagai setiausaha agung BN. Saya kira itu antara sebab (Annuar diganti)… saya juga diberi tugas untuk menjadi setiausaha Agong Muafakat Nasional.

”Presiden UMNO juga di hadapan ketua-ketua bahagian mengucapkan terima kasih atas khidmat yang diberikan Annuar yang sebelum ini menjadi setiausaha BN dan MN,”katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad turut memakumkan PRU15 perlu diadakan secepat mungkin bagi memastikan kerajaan dibentuk lebih stabil untuk memulihkan ekonomi.

Mengulas risiko PRU diadakan ketika Covid-19 belum reda, Ahmad berkata, risiko itu boleh dikurangkan susulan vaksin akan tiba di Malaysia tidak lama lagi.

Berkaitan ⇢