China tutup bandar bagi kekang penularan COVID-19

|

views

BEIJING: China menutup sebuah bandar besarnya berdekatan Beijing, memutuskan hubungan pengangkutan dan melarang berjuta-juta penduduk keluar.

Pihak berkuasa mengambil tindakan drastik itu untuk menghentikan penularan wabak COVID-19 yang terbesar di negara itu dalam tempoh enam bulan.

Ia setakat ini berjaya ditangani pihak berkuasa China sejak kemunculannya di Wuhan pada akhir 2019, dengan penularan wabak berskala kecil disekat segera melalui ujian saringan besar-besaran, penutupan kawasan dan sekatan perjalanan.

Kira-kira 100 kes baharu COVID-19 dikesan minggu lalu di Shijiazhuang, sebuah bandar dengan beberapa juta penduduk di wilayah Hebei, yang mempunyai 11 juta penduduk.

Semalam, pihak berkuasa mengumumkan, semua kenderaan dan penduduk dilarang meninggalkan bandar itu manakala perkhidmatan kereta api digantung.

Rakaman stesen penyiaran tempatan, CCTV, menunjukkan penduduk menjalani ujian calitan yang dilakukan pekerja kesihatan berpakaian hazmat di pusat komuniti Shijiazhuang, dengan ramai berbaris panjang menunggu giliran.

Imej yang disiarkan semalam menunjukkan kakitangan kawalan virus berkawal di lebuh raya yang menuju masuk ke bandar itu, yang hampir keseluruhannya disekat dengan penghadang.

Wilayah Hebei melaporkan 33 kes baharu COVID-19 hari ini, majoritinya di Shijiazhuang, tambahan kepada 51 kes yang dilaporkan pada hari sebelumnya, menjadikan jumlah kes harian yang tertinggi direkodkan dalam masa lima bulan.

Sekolah ditutup dan ujian besar-besaran sedang dijalankan ke atas penduduk di bandar itu, dengan lebih 67,000 sampel diperoleh pagi semalam, lapor media negara itu.

Kakitangan dirakam memberi suntikan vaksin Sinopharm diluluskan China baru-baru ini, yang mempunyai kadar keberkesanan 79 peratus.

Tiga pegawai dari daerah paling terjejas di bandar itu, Gaocheng iaitu pusat penularan terbaru wabak, dikenakan tindakan disiplin kerana kelalaian mereka mengawal virus.

Tindakan tegas itu dilihat sebagai tekanan kepada pihak berkuasa tempatan untuk menghapuskan virus di mana saja ia dikesan muncul. – AFP

Berkaitan ⇢