Desak Muhyiddin, Takiyuddin letak jawatan selepas SPR tangguh daftar automatik dan Undi18

|

views

Pembangkang hari ini mengecam tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) “menangguhkan” pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 sehingga selepas 1 Sept 2022.

Mereka turut mendakwa tindakan SPR itu sebagai menghina Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang meluluskan usul tersebut pada 2019 dengan sokongan 95% Ahli Parlimen semua parti termasuk Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan

Menteri Undang-Undang, Takiyuddin Hassan.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya keputusan SPR ini. Ia adalah satu penghinaan besar terhadap Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Mereka turut menggesa Muhyiddin dan Takiyuddin meletak jawatan susulan kegagalan memastikan pendaftaran Undi18 dilaksana segera.

“Berdasarkan Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan, Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen (meluluskan usul Undi18), maka keputusan ini adalah kegagalan bersama Jemaah Menteri.

“Perlu diingatkan bahawa Muhyiddin dan Takiyuddin adalah antara 211 Ahli Parlimen yang telah bersama meluluskan pindaan ini. Oleh itu, Muhyiddin dan Takiyuddin perlu meletakkan jawatan segera,” kata mereka.

Kenyataan bersama Ahli Parlimen itu dibuat oleh Fahmi Fadzil (PKR-Lembah Pantai), Steven Sim (DAP- Bukit Mertajam), Khalid Samad (Amanah-Shah Alam), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda- Muar), Azis Jamman (Warisan-Sepanggar), Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun), Wilfred Madius Tangau (Upko-Tuaran) dan Baru Bian ( PSB-Selangau – PSB).

Mereka mendakwa Takiyuddin sendiri sebelum ini memaklumkan pelaksanaan itu akan dibuat menjelang Julai 2021.

Mereka mengulas perkembangan terkini SPR yang menjangkakan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 boleh dilaksanakan selepas 1 Sept 2022, setelah menilai semula pelbagai isu yang menjejaskan perancangan dan persiapannya.

Pengerusi Abdul Ghani Salleh terdahulu berkata, SPR bersikap realistik dengan perkembangan semasa, yang umumnya masih dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Ini secara langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR,” kata Abdul Ghani.

Dewan Rakyat meluluskan RUU bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan had umur calon bertanding kepada 18 tahun pada 16 Julai 2019.

Berkaitan ⇢