Undi 18: Orang muda hilang minat proses demokrasi – PKP dijadikan alasan

|

views

Penangguhan pelaksanaan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) dan pendaftaran pemilih automatik kepada 1 September tahun depan, akan menyebabkan golongan muda hilang minat terhadap proses demokrasi di negara ini.

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyifatkan penangguhan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, itu melunturkan semangat golongan muda yang berkobar-kobar untuk terbabit dalam proses menentukan masa depan negara melalui pilihan raya.

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, menggesa SPR dapat mempertimbangkan semula penangguhan itu dan mempercepat atau melaksanakannya mengikut waktu yang diumumkan sebelum ini.

“Hakikatnya, penangguhan ini memberi kesan kepada golongan muda berusia 18 hingga 20 tahun yang berkobar-kobar menjadi sebahagian daripada rakyat yang menentukan masa depan negara.

“Sudah pasti penangguhan ini akan melunturkan semangat dan membuatkan mereka hilang minat terhadap proses demokrasi di negara ini.

“Saya harapkan proses ini dipercepatkan dan Malaysia dapat menyuburkan demokrasi yang lebih harmoni dengan memberikan hak mengundi kepada lebih ramai rakyat negara ini,” katanya kepada BH hari ini.

Semalam, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, dilaporkan berkata Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Ia berikutan SPR berdepan kekangan dan isu yang menjejaskan perancangan serta persiapan awal kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 3 November tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan, Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.

Muhammad Amir Asyraf menegaskan, alasan COVID-19 untuk menangguhkan pelaksanaan dua perkara itu bukanlah alasan yang baik kerana banyak urusan kerajaan kekal berjalan seperti biasa walaupun pandemik masih membelenggu negara.

“Saya percaya mereka berusia 18 tahun sudah pun matang dan perlu diberi peluang melalui proses demokrasi sebagai pengundi.

“SPR harus mempertimbangkan semula penangguhan Undi 18 dan mempercepatkan integrasi sistem secepat mungkin,” katanya.

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 pada 16 Julai 2019 bagi menurunkan had usia mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan usia calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Kelulusan usul itu mencipta sejarah tersendiri apabila usul yang memerlukan sekurang-kurangnya dua pertiga undi daripada 222 Ahli Parlimen, mendapat sokongan bipartisan dengan 211 Ahli Parlimen menyokong tanpa undi menolak.

Ia kemudian disusuli kelulusan di Dewan Negara pada 25 Julai 2019, dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat.

Berkaitan ⇢