Orang Iban tidak lupa dengan penghinaan PAS, kata Masing

|

views

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing berkata, beliau antara komuniti Iban yang masih mengingati penghinaan terhadap kaum itu oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata selepas pilihan raya kecil Batang Ai pada April 2009, Hadi mengatakan pengundi Iban berpihak kepada Barisan Nasional (BN) kerana mereka masih memakai cawat.

Ramai pemimpin BN menganggap penghinaan itu membawa maksud Iban ‘bodoh’ tetapi beberapa penyokong pembangkang mendakwa kenyataan Hadi itu bermakna pengundi Iban mudah terpengaruh dengan pengumuman projek segera diumumkan BN sepanjang tempoh berkempen.

Masing berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Hadi, PAS akan meletakkan calonnya berbangsa Iban di kerusi Parlimen Sibuti pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata tindakan PAS meletakkan Iban (bukan Islam) di Sibuti atau tempat lain hanyalah gimik politik semata-mata untuk menarik sokongan pengundi Iban.

“(Orang) Iban tidak pernah lupa penghinaan presiden PAS (Hadi) itu kepada Iban selepas pilihan raya kecil Batang Ai pada 2009.

“Pengundi Iban jauh lebih bijak daripada Hadi. Tambahan ideologi PAS tidak akan diterima oleh Dayak. Oleh itu PAS tidak akan berjaya di kawasan Dayak,” tambahnya.

Konstituensi Sibuti mempunyai 23,000 pengundi berdaftar (2008) dan daripada jumlah itu 45 peratus adalah Melayu/Melanau, Iban (30 peratus) diikuti Cina (22 peratus) selebihnya kaum lain termasuk Orang Ulu dan Bidayuh.

Penyandang kerusi berkenaan ialah Ahmad Lai Bujang daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Pada PRU 2008, beliau memperoleh 8,238 undi manakala lawannya Dr Michael Teo Yu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), 4,590 undi.

Manakala jumlah pengundi yang turun mengundi hanya 59 peratus.

Berkaitan ⇢