[Video] Rebut jantan: 10 ditahan berhubung kes pukul remaja perempuan

|

views

Polis menahan 10 remaja yang dipercayai terbabit dalam insiden memukul seorang remaja perempuan seperti yang dilihat dalam video yang tular di laman sosial kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Zainuddin Md Yusof berkata, individu-individu berusia antara 14 hingga 17 tahun itu ditahan selepas mereka tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah semalam.

Zainuddin berkata, enam remaja perempuan dan empat lelaki tampil menyerah diri sebaik hebahan mengenai mereka dilakukan.

“Lapan daripada remaja itu masih bergelar pelajar, manakala dua sudah berhenti sekolah dan semua tangkapan dibebaskan hari ini dengan jaminan polis selepas keterangan selesai diambil,” kata beliau, sambil menambah, seorang daripada mereka didapati positif syabu.

Zainuddin ketika dihubungi hari ini juga berkata, remaja-remaja tersebut dipercayai bergaduh kerana berebut teman lelaki.

Polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut, tambah beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Dalam rakaman video selama 30 saat itu yang mula tular kelmarin, tiga daripada remaja itu mengelilingi seorang mangsa, sebelum dua daripada mereka dilihat memaki, menolak dan menyepak gadis terbabit berulang kali.

Bagaimanapun, mangsa tidak membalas dan sekadar mendiamkan diri.

Semua remaja perempuan itu didapati berbual dalam dialek Kelantan dan dipercayai rakaman itu bertujuan mengugut mangsa akibat rasa tidak puas hati terhadapnya.

Berkaitan ⇢