Dakwaan pelajar matrikulasi dikompaun RM1,500 kini sedang dalam siasatan

|

views

KEMENTERIAN Kesihatan menjalankan siasatan terhadap tuduhan yang mendakwa pegawai Jabatan Kesihatan Perak mengeluarkan kompaun RM1,500 kepada pelajar matrikulasi kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Jabatan Kesihatan Perak sedang meneliti perkara itu.

“Terima kasih atas aduan yang dibuat kepada Kementerian Kesihatan.

“Perkara ini akan diambil tindakan secepat mungkin. InsyaAllah,” katanya sebagai membalas ciapan seorang pemilik akaun Twitter @NabilAmirul4, yang berkongsi gambar ketika kejadian yang berlaku pada Isnin.

Menurut pengguna Twitter tersebut, pelajar kolej matrikulasi terbabit dikenakan kompaun RM1,500 oleh pegawai KKM yang datang ke kafe kolej berkenaan.

Kejadian dipercayai berlaku di Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng.

Catatan tersebut telah diulangkicau (retweet) lebih 31,000 kali.

Menurutnya lagi, para pelajar di kolej tersebut juga sememangnya tidak berhubung dengan dunia luar selama satu semester kerana penularan Covid-19.

Ciapan tersebut turut mengundang perhatian netizen yang menganggap tindakan kompaun ke atas pelajar berkenaan sebagai tidak adil.

Terdahulu ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman juga menyuarakan rasa tidak puas hatinya mengenai perkara berkenaan di Twitter.

“Kalau pelajar, tak perlu buka kertas siasatan. Kompaun terus.

“Dah banyak kali kita tegur perlaksanaan double standard macam ni. Apa salahnya tegur dulu sebelum kompaun? Apa yang susahnya? Please explain this @KKMPutrajaya,” tulisnya.

Berkaitan ⇢