Kematian tragedi tanah runtuh Indonesia meningkat kepada 10

|

views

MEDAN: Kematian berikutan tragedi tanah runtuh dekat projek empangan hidroelektrik di pulau Sumatera, Indonesia meningkat kepada 10 orang.

Demikian perangkaan terakhir yang dikeluarkan sumber rasmi, selepas pihak berkuasa menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lokasi tanah runtuh di empangan berkenaan.

Bencana berlaku selepas hujan lebat di sekitar empangan hidroelektrik Batang Toru 29 April lalu, menyebabkan 13 mangsa tertimbus di bawah tanah.

Mangsa yang terdiri daripada kakitangan empangan, ketika itu sedang mengendalikan pemeriksaan di sekitar tapak projek kerana khuatir hujan lebat berupaya menyebabkan tanah runtuh.

Sekurang-kurangnya dua kanak-kanak turut menjadi mangsa manakala kakitangan warga China dikenal pasti semalam.

Seorang lagi kakitangan warga China terselamat daripada menjadi mangsa selepas berjaya melarikan diri.

Ketua agensi mitigasi bencana tempatan, Hotmatua Rambe, berkata operasi mencari dan menyelamat ditamatkan selepas 10 mayat berjaya dijumpai di bawah timbunan tanah manakala tiga lagi mangsa dilaporkan masih hilang.

Projek empangan hidroelektrik Batang Toru, sebahagian daripada projek Jalur Lebar China menjangkau nilai berbilion dolar, sebelum ini berdepan bantahan kerana dibina di Tapanuli, kawasan hutan yang didiami spesis orang utan terancam. – AFP

Berkaitan ⇢