Darurat dah 4 bulan, apa sudah jadi dengan dua angka kes Covid-19, soal Najib

|

views

Bekas perdana menteri, Najib Razak, mempersoal jangkaan kerajaan untuk menurunkan kes Covid-19 kepada dua angka menjelang Mei.

Dalam perutusan sempena sambutan ulang tahun Umno ke-75 esok, Ahli Parlimen Pekan itu menjelaskan bahawa kerajaan mengatakan kewajaran perisytiharan darurat dan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan Januari lalu bertujuan mengekang penularan virus dalam negara.

“Kita diberitahu bahawa angka harian Covid-19 pada Mei dijangka turun kepada dua angka. Jangkaan ini memberikan kita bayangan seolah-olah kehidupan kita akan kembali kepada normal (dengan pelaksanaan darurat)

“Ya, kita sekarang berada pada pertengahan Mei. Berapa banyak kes dilaporkan semalam? Jauh sekali dari jangkaan dua angka,” katanya.

Kementerian Kesihatan melaporkan 3,733 kes dan merekodkan angka kematian tinggi 26 kes semalam, menjadikan jumlah kes jangkitan keseluruhan kepada 440,667 dan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 1,683 dengan kebanyakan dilaporkan pada Januari.

Pada sidang media Januari lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kementerian meramalkan kes jangkitan harian Covid-19 turun kepada bawah 1,000 pada April dan mencatatkan kes dua angka pada akhir Mei dengan pelaksanaan PKP dan darurat.

Sambil mengingatkan bahawa kerajaan melaksanakan darurat pada Januari untuk memerangi Covid-19, Najib turut mempersoal sama ada kerajaan akan terus menggunakankan frasa “Darurat Memerangi Covid-19” dalam surat rasmi mereka.

“Kerajaan mempunyai frasa,…Prihatin Rakyat: Darurat Memerangi Covid-19.

“Empat bulan sudah berlalu. Adakah pemimpin kerajaan akan terus menggunakan slogan sama?” soalnya.

Sambil mengingatkan bagaimana tanda pagar #KerajaanGagal kini trending di media sosial, Najib berkata ia membuktikan bahawa rakyat sedang menilai prestasi kerajaan hari ini.

Najib turut mengingatkan pemimpin Umno yang berada dalam kerajaan dan mereka yang lain dalam parti untuk “tidak meminggirkan” suara rakyat.

Katanya, pemimpin mungkin mempunyai pandangan berbeza, tetapi mereka tidak boleh tersasar dari perjuangan parti dalam membela rakyat.

Berkaitan ⇢