#IsraelKoyak trending di media sosial

|

views

MyAqsaDefenders, gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, melancarkan kempen serangan siber dengan meminta rakyat Malaysia menularkan hantaran di laman sosial bersama hashtag #ShameOnIsrael dan #IsraelKoyak.

Ia bertujuan mengutuk tindakan yang dilakukan Israel ke atas penduduk Palestin dan juga Masjid al-Aqsa.

Sekretatiat gabungan itu berkata, kempen itu berjaya tular serta memberi impak kepada Israel di Facebook, Instagram dan juga Twitter sehingga carian maksud perkataan ‘koyak’ turut meningkat di laman sesawang.

Katanya, MyAqsaDefenders juga menggesa masyarakat Malaysia untuk melihat isu Palestin ini diangkat bukan semata terkait hal keagamaan, namun lebih kepada persoalan ketidakadilan, pencabulan hak asasi manusia dan juga krisis kemanusiaan sejagat.

“Justeru kami menyeru seluruh rakyat Malaysia dengan kepelbagaian latar agama dan kaum untuk bersuara serta menyokong perjuangan Palestin dalam menuntut dan mempertahankan hak mereka yang dirompak sejak tujuh dekad lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, setakat ini serangan siber itu memang berjaya.

“Influencer Israel juga ada buat satu video untuk menyerang balas naratif yang dibuat netizen Malaysia. Kita alu-alukan netizen kita untuk tampil dengan kandungan kreatif sebagai sokongan kepada isu ini.

“Kebetulan, kita berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang ada banyak masa, jadi kita harap mereka boleh bersama-sama berperanan dengan kreativiti masing-masing untuk menunjukkan solidariti kita,” katanya.

Berkaitan ⇢