Harga MSM mampu cecah RM5,000 satu tan jika permintaan kekal kukuh, stok menurun

|

views

– MSM mampu cecah RM5,000 satu tan
– Komoditi dijangka catat harga tertinggi jika permintaan kekal kukuh, stok menurun
– MSM kekal tinggi disebabkan kenaikan besar dalam harga minyak kacang soya dan kebimbangan berterusan terhadap bekalan yang rendah di Malaysia.

Harga minyak sawit mentah (MSM) berpotensi mencecah paras harian tertinggi dalam sejarah iaitu RM5,000 satu tan dalam tempoh jangka pendek.

Ia berlaku jika permintaan kekal kukuh dan faktor inventori yang terus menurun.

Peniaga sawit, David Ng, berkata faktor asas kukuh di pasaran ketika ini membolehkan prospek peningkatan harga MSM mencecah RM5,000 satu tan adalah sesuatu yang tidak mustahil.

“Jika tahap stok terus menurun dan permintaan kukuh, kita tidak menolak kemungkinan harga akan berlegar RM4,800 atau RM4,900 satu tan dan jika ia berterusan, kita mungkin dapat melihat harga MSM menuju ke paras RM5,000 satu tan dalam kontrak bulan tertentu.

“Pasaran memasuki 2021 dengan stok lebih rendah iaitu di bawah dua juta tan. Memandangkan stok mula menyusut lebih jauh, kita juga dapat menjangkakan harga akan positif.

“Adalah penting juga untuk menyaksikan kadar permintaan pada beberapa minggu ke hadapan bagi melihat tanda ia menyederhana,” katanya kepada BH.

MSM memecah rekod buat kali ke-10 tahun ini apabila mencatat harga tertinggi dalam sejarah iaitu RM4,758 satu tan 10 Mei lalu.

Harga tertinggi terakhir direkodkan komoditi itu ialah RM4,652 satu tan pada 6 Mei.

Dengan kenaikan harga buah tandan segar (BTS) melebihi RM1,000 satu tan, peneroka dengan kebun sawit seluas 4.04 hektar (10 ekar) boleh mengecapi pendapatan sekitar RM6,000 sebulan.

Peningkatan harga komoditi itu terus berlaku di tengah persekitaran inventori minyak boleh dimakan global yang rendah.

Mengulas lanjut, Ng berkata, persekitaran harga MSM kekal tinggi disebabkan kenaikan besar dalam harga minyak kacang soya dan kebimbangan berterusan terhadap bekalan yang rendah di Malaysia.

Katanya, permintaan eksport yang tinggi dari China dan India turut mendorong harga MSM kekal tinggi ketika ini.

“Kita menyaksikan kenaikan kukuh dalam komoditi bijirin utama seperti jagung, gandum dan kacang soya dengan minyak sawit juga tidak terkecuali.

“Selagi faktor asas kukuh ini kekal menjadi menyokong naratif jangka pendek, harga MSM dijangka terus meningkat.

“Kontrak Julai 2021 yang menjadi penanda aras ketika ini berada pada paras RM4,200 satu tan. Saya menjangka harga akan menguji semula tahap rintangan berpotensi berikutnya iaitu RM4,400 dan RM4,000 adalah tahap sokongan psikologi utama,” katanya.

Beliau menjelaskan, secara keseluruhan, harga MSM mencatat kenaikan besar sejak beberapa bulan lalu disokong asas pasaran kukuh dan kenaikan harga bijirin antarabangsa.

Namun, tegasnya, setiap kenaikan mendadak, harga pasti akan menghadapi pembetulan teknikal.

“Pada situasi ini, kami menjangkakan harga mungkin berdepan tahap rintangan utama dan jika asas tidak menyokong pasaran, maka ada kemungkinan harga akan menyusut.

“Dari segi teknikal, harga boleh menyusut kepada RM4,000 satu tan pada tempoh sederhana dan jika menyusut di bawah paras ini, ia boleh menolak harga MSM kepada RM3,800 atau lebih rendah,” katanya.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim pula berkata, kenaikan harga MSM disebabkan peningkatan harga barang makanan dan minuman di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS) bagi mengimbangi kenaikan kos input, terutama komoditi seperti kacang soya dan jagung.

“Adalah tidak mengejutkan kenaikan harga komoditi turut dinikmati oleh harga MSM Malaysia.

“Walaupun Malaysia berdepan lonjakan kes penularan COVID-19 ketika ini, negara seperti AS menyuntik rangsangan fiskal ke dalam ekonomi yang memberikan sokongan kepada persekitaran permintaan global,” katanya.

Berkaitan ⇢