COVID-19: Wanita disangka mati, bangun beberapa minit sebelum dibakar

|

views

BARAMATI: Seorang wanita warga emas yang dipercayai meninggal dunia akibat dijangkiti virus COVID-19 secara tiba-tiba sedar, sebelum upacara pembakaran mayatnya dilakukan di Kampung Mudhale, di sini.

Wanita berusia 76 tahun dikenali Shakuntala Gaikwad, itu didapati positif COVID-19 beberapa hari lalu.

Dia kemudian diasingkan di rumah, tetapi keadaannya semakin bertambah buruk disebabkan faktor usia, sebelum keluarganya memutuskan untuk memindahkan wanita itu ke sebuah hospital di Baramati.

Ketika menerima rawatan di hospital, Gaikwad dilaporkan tidak sedarkan diri dan disangka sudah meninggal dunia, sebelum ‘mayatnya’ dibawa pulang ke rumah untuk upacara pengebumian.

Ketika upacara pembakaran mayat hendak dilakukan, Gaikwad secara tiba-tiba membuka mata dan terus menangis, sebelum keluarga menghantarnya semula ke hospital.

Menurut pegawai polis Santosh, Gaikward dikejarkan ke Hospital Silver Jubilee untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kematian akibat COVID-19 semakin meningkat di kawasan pedalaman India, menyebabkan mayat ditanam dalam kubur cetek atau dibiar hanyut dalam sungai, selain dibakar.

Golongan miskin yang dijangkiti wabak itu tiada akses kepada perubatan moden dan hanya bergantung harapan pada rawatan herba atau doktor biasa. – Agensi

Berkaitan ⇢