‘Situasi Covid-19 kini meruncing, katil di ICU memang penuh!’

|

views

“Setiap perkembangan terbaharu dan jumlah angka positif Covid-19 yang dikongsikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah betul. Memang keadaan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh (HSB) dalam keadaan yang meruncing hari ini,”

Demikian kata penerbit Majalah 3, Khaleeq Shahzada Manja mengenai pengalaman dua hari pihaknya menjalankan penggambaran program dokumentari khas ‘Kita Masih Belum Menang’ yang ditayangkan di TV3, semalam.

Shah berkata, ketika dia bersama pasukannya diberi peluang untuk menjalankan penggambaran di HSB pada 7 dan 9 Mei lalu, dia mengakui jumlah pesakit positif Covid-19 yang ditempatkan di ICU amat menakutkan.

“Ketika saya pergi ke sana, katil di wad ICU memang penuh, malah ada pesakit yang perlu menunggu giliran. Jika ada yang sudah stabil dan sedarkan diri mereka akan dipindahkan ke wad lain untuk digantikan dengan pesakit baru.

“Sehari sebelum penggambaran dijalankan, kami diberi latihan memakai pakaian perlindungan diri (PPE). Sepanjang tiga jam latihan kami juga dibawa masuk ke wad ICU untuk melihat keadaan di sana sebelum penggambaran dimulakan.

“Keadaan di wad ICU amat menakutkan kerana ia adalah zon merah. Pesakit-pesakit tidak memakai pelitup muka kerana mereka bergantung dengan alat bantuan pernafasan. Jadi, risiko lebih tinggi sebab virus boleh tersebar dengan mudah.

“Kali pertama memang agak risau, tapi berkat sokongan terutama jururawat di sana kerisauan itu semakin pudar. Tapi, ia berganti dengan perasaan sedih sebab hampir 90 peratus pesakit di wad ICU ‘dikomakan’ bagi menstabilkan serta mengelakkan rasa kesakitan,” katanya.

Menurut Shah, dia juga gagal menahan sebak apabila melihat wajah-wajah pesakit seusia dengan ibu bapanya.

“Saya tak dapat nak bayangkan kalau ibu bapa atau ahli keluarga saya yang lain berada di dalam keadaan begitu.

“Lebih menyedihkan lagi, kami melihat sendiri saat pesakit-pesakit ini bertarung nyawa dan meninggal dunia. Situasi itu sukar untuk saya ungkapkan,” katanya.

Tambah Shah lagi, selepas menerima maklum balas positif daripada penonton, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan KKM untuk berbincang langkah seterusnya bagi membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahayanya Covid-19.

“Alhamdulillah, program ini menerima impak yang positif termasuk di media sosial. Saya lihat semua pihak tanpa mengira bangsa, agama mahupun darjat   menyambut baik mesej yang kami ingin sampaikan.

“Diharapkan paparan ini dapat membantu agensi-agensi kerajaan yang lain bersama-sama untuk menangani penularan Covid-19,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan liputan khas ‘Kita Masih Belum Menang’ berjaya menjentik hati ramai masyarakat ketika menyaksikan program dokumentari Majalah 3 itu, semalam dan menduduki carta ‘trending’ di Twitter.

Berkaitan ⇢