Pelancong positif Covid-19 selepas pulang dari Genting Highlands

|

views

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah sedang melakukan pengesanan kontak rapat rombongan pelancong dari Alor Setar ke pusat peranginan Genting Highlands selepas terdapat individu didapati positif Covid-19 dalam kalangan mereka.

Difahamkan, kumpulan yang terbabit dalam gelembung pelancongan melakukan perjalanan menaiki bas pada pertengahan April lalu, sebelum mereka mula dikesan positif Covid-19 pada 30 April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata ujian saringan setakat 7 Mei lalu, mengesan 16 individu disahkan positif selepas ujian dilakukan ke atas 28 pelancong.

Jelasnya, kes positif berkenaan diletak di bawah Kluster Dah Lengkuas berikutan kebanyakan mereka adalah membabitkan penduduk tempatan yang tinggal di Taman Lengkuas, Simpang Empat, di sini.

“Kluster Dah Lengkuas ini adalah mereka yang melakukan perjalanan di bawah gelembung pelancongan ke Genting Highlands dengan menaiki bas secara beramai-ramai.

“Selepas pulang, ada peserta rombongan yang menjalani ujian saringan Covid-19 dan pada peringkat awal seramai tujuh individu didapati positif menyebabkan usaha mengesan kontak rapat terus dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas mengenai jumlah sebenar penduduk yang ke terbabit dalam perjalanan ke Genting Highlands berkenaan, Dr Mohd Hayati memaklumkan setakat ini beliau dimaklumkan hanya membabitkan sebuah bas sahaja.

“Saya dimaklumkan JKN Kedah sedang siasat penumpang sebuah bas sahaja, tetapi kita akan cuba kesan semua kontak rapat yang lain juga.

“Sehingga kini, kita belum dapat tahu jumlah sebenar mereka yang positif kerana proses ujian saringan masih dilakukan,” katanya.

Semalam, tular di media sosial apabila terdapat peserta rombongan yang didakwa dibawa menaiki empat bas ke Genting Highlands didapati positif Covid-19 sebelum menyebabkan jangkitan kepada ahli keluarga dan pengunjung pasar malam.

Berkaitan ⇢