#BukaPuasaParlimen: Mukhriz, 7 individu dipanggil polis

|

views

Bekas Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir, dan tujuh individu lain dipanggil polis bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan hujung bulan lalu yang mendesak darurat ditamatkan.

Menerusi catatan di Twitter, Setiausaha Agung Penaja MUDA, Amir Hariri Abd Hadi, berkata mereka akan hadir di Balai Polis Dang Wangi pada Khamis.

Selain Mukhriz dan Amir, individu lain yang dipanggil adalah Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan Asmaalif Abdul Adam, Khairuddin Abu Hassan dari Pejuang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali, ADUN Kampung Tunku Lim Yi Wei, Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM) Sharan Raj, dan Pengasas Undi18, Tharma Pillai.

“Kes meningkat mendadak. Kita gesa #KerajaanGagal buka Parlimen, bukan siasat rakyat,” kata Amir di Twitter.

Perhimpunan #BukaPuasaParlimen yang diadakan pada 30 April lalu menyaksikan peserta mengadakan protes aman sebelum berbuka puasa bersama.

Perhimpunan itu dianjurkan kumpulan belia yang mengemukakan enam tuntutan terhadap kerajaan, termasuk menamatkan darurat supaya Parlimen boleh bersidang semula dan melaksanakan Undi18.

Kes itu disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 atas dakwaan mengadakan perhimpunan tanpa notis.

Berkaitan ⇢