Rakyat Palestin bertakbir, banjiri jalanan rai genjatan senjata

|

views

21 MEI: Genjatan senjata antara Israel dan Hamas bermula awal pagi tadi diraikan penduduk Palestin dengan membanjiri jalanan dan melakukan sujud syukur serta takbir Aidilfitri di Masjid al-Aqsa.

Menurut portal berita France 24, kedua-dua pihak mula menamatkan pertempuran pada jam 2 pagi waktu tempatan pada Jumaat selepas kedua-dua pihak bertempur 11 hari.

Wartawan AFP di Tebing Barat berkata, buat kali pertama kereta kelihatan di jalanan sambil membunyikan hon dan orang ramai menjalani kehidupan biasa, malah beberapa das tembakan turut kedengaran bagi meraikan gencatan senjata itu.

Rakyat Palestin meraikan genjatan senjata di jalanan di Semenanjung Gaza pagi tadi.

Buat kali pertama, tiada siren amaran dibunyikan di Israel bagi memberi amaran mengenai serangan roket Hamas, sekali gus menjadi petanda gencatan senjata itu dipatuhi kedua-dua belah pihak.

Beberapa video yang dikongsi di laman sosial menunjukkan rakyat Palestin berpusu-pusu ke Masjid al-Aqsa bagi meraikan gencatan senjata itu di samping percikan bunga api menerangi langit Palestin.

Anak muda dilihat berkumpul di jalan-jalan di Gaza dan Tebing Barat sejak jam 2 pagi untuk meraikan gencatan senjata itu selepas mereka bermandikan darah dan peluru berpandu rejim Zionis.

SUASANA di Semenanjung Gaza meriah dengan laungan takbir tanda kesyukuran rakyat Palestin selepas pertempuran selama 11 hari berakhir pada pagi Jumaat.

Mereka juga melaungkan takbir sekali gus menunaikan solat subuh berjemaah.

Menurut kenyataan pejabat Presiden Israel, Benjamin Netanyahu, kabinet keselamatannya sebulat suara menerima cadangan yang dibuat atas inisiatif Mesir bagi gencatan senjata tanpa syarat.

Kumpulan Hamas dan Islamic Jihad turut mengesahkan gencatan senjata itu dalam satu kenyataan, dengan memaklumkan ia berkuat kuasa bermula jam 2 pagi hari ini (waktu tempatan).

Seorang tokoh veteran Hamas, Khalil al-Hayya, menyifatkan gencatan senjata itu sebagai kegembiraan satu kejayaan.

Menurut Hamas, kekejaman Isarel telah mengorbankan 232 penduduk Palestin, termasuk 65 orang adalah kanak-kanak, 39 orang wanita, 17 warga emas dan mencederakan lebih 1,900 orang manakala 120,000 kehilangan tempat tinggal.

Serangan roket dari Gaza pula mengorbankan 12 nyawa di Israel, termasuk dua kanak-kanak dan seorang askar Israel selain seorang warga India serta dua warga Thailand.

Berkaitan ⇢