MBSB Bank lanjutkan moratorium

|

views

17 MEI: Para pelanggan MBSB Bank Bhd (MBSB) yang terjejas akibat pandemik COVID-19 bakal menikmati lanjutan moratorium tiga bulan tambahan atau pengurangan enam bulan sebanyak 50 peratus ke atas bayaran ansuran bulanan.

Bank itu dalam satu kenyataan berkata, bantuan itu disediakan di bawah Bantuan Pembayaran Balik Bersasar yang turut diperluaskan kepada perusahaan kecil dan mikro.

“Usaha ini adalah untuk menyokong Bank Negara Malaysia (BNM) serta Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia yang menggesa semua institusi kewangan menyediakan penyelesaian kewangan selanjutnya kepada pelanggan mereka yang terjejas daripada segi kewangan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman, berkata pelanggan perusahaan runcit dan kecil serta mikro bank berkenaan berkemungkinan mengalami cabaran kewangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara yang diteruskan sehingga 7 Jun depan.

“Kami menggesa pelanggan untuk berbincang dengan bank dan mendapatkan bantuan ini.

“Bantuan yang disasarkan ini tidak terpakai kepada semua pelanggan tetapi mereka yang memerlukan sahaja, malahan, kami sudah menyediakan proses dokumentasi yang ringkas bagi memudahkan permohonan mereka,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Berkaitan ⇢