60,000 umat Islam dijangka tunai haji tahun ini

|

views

23 MEI: Seramai 60,000 jemaah dari seluruh dunia dibenarkan menunaikan haji tahun ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Arab Saidi, seramai 45,000 daripada jumlah itu ditawarkan bagi jemaah luar Arab Saudi, manakala bakinya disediakan untuk jemaah tempatan.

Kementerian itu turut mengeluarkan garis panduan setebal sembilan muka surat bagi memastikan jemaah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Berdasarkan garis panduan itu, jemaah perlu melengkapkan semua dokumen berkaitan status kesihatan mereka, termasuk memiliki sijil vaksinasi.

“Jemaah juga perlu melalui pemeriksaan visual sebagai langkah berjaga-jaga berkaitan COVID-19.

“Sebarang maklumat berkaitan akan disalurkan melalui media sosial, agensi pelancongan dan menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS),” menurut kenyataan itu yang diciap di Twitter Haramain, hari ini.

Kenyataan itu berkata, setibanya di tempat penginapan yang memenuhi syarat ditetapkan Kementerian Pelancongan, Kementerian Haji dan pihak berkaitan, jemaah perlu melakukan pemeriksaan suhu dan jemaah antarabangsa harus menjalani kuarantin selama tiga hari serta ujian calitan.

Jemaah, katanya, akan ditempatkan dalam kumpulan tertentu bagi menunaikan ibadah terbabit untuk memastikan mereka mematuhi penjarakan fizikal.

Pada masa sama, kenyataan itu memaklumkan, semua bagasi jemaah akan disanitasi petugas, selain kakitangan ditempatkan di semua pintu masuk bagi memantau dan memastikan kelancaran proses haji.

“Bagi ibadah melontar jamrah, semua jemaah akan disediakan dengan batu yang sudah disanitasi.

“Hanya 50 jemaah dibenarkan berada di setiap tingkat bagi melontar jamrah pada satu masa,” katanya.

Berkaitan ⇢