Vaksin Pfizer beri kesan hampir 90 peratus terhadap varian India B.1.617.2

|

views

23 MEI: Dua dos suntikan vaksin Pfizer dan AstraZeneca memberikan tahap perlindungan yang serupa ke atas pesakit COVID-19 dijangkiti varian dari India B.1.617.2 dan varian United Kingdom (UK).

Bagaimanapun, kedua-dua vaksin berkenaan hanya 33 peratus berkesan terhadap varian India, tiga minggu selepas mengambil dos pertama manakala keberkesanan sebanyak 50 peratus pula direkodkan ke atas varian UK.

Agensi Kesihatan Awam England (PHE) yang menjalankan kajian tersebut memaklumkan, vaksin berkenaan mungkin lebih berkesan untuk mencegah kemasukan dan kematian di hospital.

“Vaksin Pfizer didapati 88 peratus berkesan untuk menghentikan penyakit simptomatik dari varian India dua minggu selepas suntikan dos kedua, berbanding keberkesanan 93 peratus terhadap varian UK.

“Bagi vaksin AstraZeneca pula, ia berkesan 60 peratus terhadap varian India, berbanding 66 peratus ke atas varian UK,” katanya seperti memetik laporan akhbar The Guardian, Hari ini. 

PHE berkata, perbezaan keberkesanan di antara vaksin selepas dua dos dapat dijelaskan oleh fakta bahawa suntikan dos kedua AstraZeneca lebih lambat, berbanding Pfizer yang sebelum ini perkara itu sudah dipersetujui.

Sementara itu, Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock menyifatkan hasil keputusan yang diperoleh menerusi kajian PHE itu sebagai ‘penemuan baharu’.

“Saya menyatakan keyakinan, dengan keberkesanan vaksin ini, perancangan vaksinasi dapat dijalankan mengikut jadual serta kelonggaran sekatan juga dapat direalisasikan,” katanya. 

Terdahulu, UK merupakan negara terawal dan terpantas yang menjalankan program vaksinasi di Eropah namun kini terdapat cabaran kerana berdepan dengan penemuan kes membabitkan varian India yang mudah berjangkit.

Data terbaharu menunjukkan kes baharu COVID-19 yang dicatatkan di UK meningkat 10.5 peratus dalam tempoh tujuh hari sehingga 22 Mei.

Perdana Menteri, Boris Johnson mengarahkan agar usaha mempercepat pemberian dos kedua kepada golongan berusia lebih 50 tahun dan mereka yang rentan.

Kerajaan United Kingdom juga bercadang akan melonggarkan banyak lagi sekatan bermula 21 Jun ini.

Berkaitan ⇢