Neelofa ‘kena’ lagi dengan netizen

|

views

Kuala Lumpur: Selebriti popular, Neelofa, 32, sekali lagi meraih ‘populariti’ apabila didakwa tidak memakai pelitup muka oleh netizen ketika hadir di Mahkamah Majistret, Seremban, Negeri Sembilan bersama suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, atas dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari ini.

Menerusi gambar dirakam pihak media di perkarangan mahkamah itu jelas kelihatan niqab dipakai Neelofa yang menjadi imej terbaharunya sejak beberapa bulan lalu menampakkan bentuk hidung dan mulutnya.

“Pakai niqab tak perlu pakai ‘mask’ (pelitup muka) ya?”

Itu antara komen pengguna laman sosial di Facebook Harian Metro yang mempersoalkan penampilan Neelofa itu.

Sementara itu, beberapa pengguna laman sosial di hantaran yang dimuat naik di Instagram Harian Metro @hmetromy turut mempersoalkan perkara sama.

“Pakai purdah pun kena pakai ‘mask’ juga ya Cik Kak,” tulis pengguna itu.

“Lofa macam tak pakai ‘facemask’ jer tu…” tulis pengguna lain pula.

“Pakai purdah tak perlu pakai mask eh? Dulu macam menteri/DG kata pakai pudah pun kena pakai ‘mask’” kata seorang pengguna lagi.

Pada masa sama, seorang lagi pengguna media sosial memuat naik keratan berita mengenai kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkenaan pemakaian pelitup muka bagi wanita berpurdah yang disiarkan pada 22 Oktober tahun lalu.

Noor Hisham dalam satu kenyataan kepada media dipetik sebagai berkata, pemakaian purdah dan berniqab tidak mampu menghalang mereka daripada dijangkiti.

“Seperti yang dimaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kita diwajibkan memakai pelitup muka di tempat awam bermula pada 1 Ogos lalu. Ada dua jenis pelitup muka yang boleh dipakai untuk tujuan pencegahan iaitu pelitup muka perubatan dan bukan perubatan.

“Pelitup muka bukan perubatan disyorkan untuk mereka yang tidak bergejala tetapi berada di tempat awam dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pelitup muka yang mempunyai tiga lapisan fabrik, jadi kita perlu mengikut syor WHO,” katanya.

Terdahulu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas kesalahan melanggar SOP PKPB selepas pertuduhan dibacakan hadapan Majistret Mahyun Yusoff.

Mereka didakwa atas pertuduhan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual nama dan nombor telefon sebelum memasuki premis kedai Naeem Carpet Sdn Bhd.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu kedai Naeem Carpet di No 219, Jalan 3/6, Kawasan Perindustrian Nilai 3, di sini, pada jam 4 petang, 2 Mei lalu.

PU Riz juga didakwa tidak memakai pelitup muka di tempat awam iaitu di premis kedai sama dan pada tarikh serta waktu yang sama.

Harian Metro

Berkaitan ⇢