Neelofa, PU Riz tak mengaku salah langgar SOP PKPB

|

views

Seremban: Selebriti, Neelofa dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail (PU Riz) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor, 32, dan Muhammad Haris, 26, membuat keputusan itu selepas pertuduhan dibacakan hadapan Majistret Mahyun Yusoff.

Pasangan itu didakwa atas pertuduhan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual nama dan nombor telefon sebelum memasuki premis Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di premis terletak di No 219, Jalan 3/6, Kawasan Perindustrian Nilai 3, pada jam 4 petang, 2 Mei lalu.

Sementara itu, Muhammad Haris juga didakwa tidak memakai pelitup muka di tempat awam iaitu di premis kedai sama dan pada tarikh serta waktu yang sama.

Neelofa dan suami, PU Riz ketika hadir ke mahkamah, hari ini. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Neelofa dan suami, PU Riz ketika hadir ke mahkamah, hari ini. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Pasangan itu didakwa mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) (Pindaan) (No.12) 2021.

Jika sabit kesalahan, pasangan itu boleh didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan barisan Timbalan Pendakwa Raya (TPP) Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Iznina Hanim Hashim, manakala pasangan itu diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Duratul Ain.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan wang jaminan RM20,000 terhadap Muhammad Haris manakala RM10,000 terhadap Neelofa.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi Muhammad Haris untuk kedua-dua pertuduhan manakala RM5,000 wang jaminan bagi Neelofa dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 4 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua pasangan itu kemudiannya membayar wang jaminan dikenakan.

Sebaik selesai perbicaraan dan urusan wang jaminan, Neelofa dan suami kemudian terus menuju ke arah kereta dan mereka enggan ditemubual.

Muhammad Haris dilihat menunjukkan tindak balas yang baik terhadap wartawan yang merakamkan gerak geri mereka ketika hendak memasuki kereta ketika ada wartawan menyapa beliau.

Sementara itu, Mahadevan ketika ditemui media di perkarangan mahkamah berkata, jaminan perlu diberikan kerana ia membabitkan kes saman.

Beliau berkata, pertuduhan hanya membabitkan pelanggaran SOP dan tidak membabitkan isu rentas negeri.

“Kita hari ini hadir untuk tuduhan yang sedia ada dan sebutan semula kes pada 4 Jun nanti adalah untuk serahan dokumen berkaitan kes ini.

“Kedua-dua mereka bersetuju untuk dibicarakan,” katanya.

Mahadevan berkata, kedua-dua anak guamnya dalam keadaan yang baik dan tidak menghadapi sebarang masalah atau terganggu dengan pertuduhan yang dihadapi hari ini.

Terdahulu, kedua-dua pasangan popular itu yang mendirikan rumah tangga pada 27 Mac lalu, tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Seremban pada jam 8.55 pagi dengan kereta BMW berwarna biru.

Kedua-dua pasangan itu kemudian membuat pemeriksaan suhu dan imbasan MySejahtera di pintu utama pengawal kompleks berkenaan dibenarkan masuk ke dalam kawasan mahkamah.

Pendakwaan terhadap Neelofa dan suami mendapat liputan meluas media apabila petugas media dari pelbagai agensi tiba seawal jam 7.30 pagi di mahkamah.

Harian metro

Berkaitan ⇢