Liverpool, Chelsea sertai City, United ke Liga Juara-Juara 2021/22

|

views

Dua gol jaringan Mane memastikan slot Liga Juara-Juara buat Liverpool musim depan.

LIVERPOOL mengesahkan kemaraan ke pentas saingan Liga Juara-Juara musim 2021/22 selepas meraih kemenangan 2-0 mengatasi Crystal Palace di Stadium Anfield, sebentar tadi.

Dua gol hasil jaringan Sadio Mane di setiap babak memastikan tiga mata mutlak skuad bimbingan Jurgen Klopp yang melonjakkan kedudukan ditangga ke tiga liga selepas berakhirnya 38 perlawanan musim ini.

Sebelum aksi terakhir berlangsung sebentar tadi, Manchester City dan Manchester United, telah pun mengesahkan tempat sebagai juara dan naib juara, namun baki dua kekosongan slot bakal menjadi rebutan antara Leicester, Chelsea dan Liverpool.

Mane membuktikan ketajamannya apabila meledak gol pada minit ke-36 dan 74 untuk membawa Liverpool ke pentas liga Juara-Juara musim depan.

Keputusan penuh perlawanan yang berlangsung sebentar tadi.

Satu slot lagi tidak kurang menariknya apabila Juara Piala FA 2021, Leicester City yang beraksi digelanggang sendiri gagal merebut slot selepas kecundang 2-4 ditangan Tottenham Hotspurs walaupun pencabarnya Chelsea tewas mengejut kepada Aston Villa, 1-2.

Selepas berakhirnya 38 perlawanan , City selaku juara gah menerajui liga dengan mengumpul 86 mata hasil 27 kemenangan, lima seri dan enam kekalahan manakala United ditangga kedua meraih 21 kemenangan, 11 seri dan enam kekalahan untuk mengumpul 74 mata.

Bagi Liverpool tiga mata diraih malam ini memastikan 69 mata berjaya diraih hasil 20 kemenangan, sembilan seri dan sembilan tewas manakala Chelsea dikedudukan keempat dengan 19 kemenangan, 10 seri dan 9 kekalahan mengumpul 67 mata.

Perebutan Kasut Emas akhirnya menjadi milik penyerang Spurs, Harry Kane yang mengatasi pemain Liverpool, Mohamed Salah dengan kelebihan satu gol apabila pemain berkenaan menjaringkan satu gol membantu kemenangan pada aksi terakhir malam ini.

Sebelum perlawanan bermula Kane dan Salah berkongsi kedudukan penjaring terbanyak iaitu 22 gol.

Kedudukan penuh pasukan selepas berakhirnya 38 perlawanan musim ini.

Berkaitan ⇢