Max Verstappen takluk GP Monaco

|

views

Image

PEMANDU Red Bull Racing, Max Verstappen muncul pemenang Grand Prix Monaco sekaligus mendahului senarai keseluruhan pemandu buat kali pertama dalam karier beliau.

Verstappen menamatkan perlumbaan dihadapan pelumba Ferrari Carlos Sainz dan pelumba McLaren Lando Norris yang turut berkongsi podium perlumbaan klasik di Litar Monte Carlo.

Malang menimpa pemegang petak pertama Charles Leclerc yang gagal memulakan perlumbaan akibat kerosakan bahagian ‘driveshaft‘ ekoran kemalangan yang dihadapi ketika sesi kelayakan semalam.

Kesempatan itu diambil oleh Verstappen untuk bermula baik mengekang Valtteri Bottas menuju selekoh pertama dan selepas itu beliau mengawal perlumbaan untuk muncul sebagai pemenang.

Image

Pasukan Mercedes AMG menghadapi perlumbaan terburuk mereka sejak sekian lama apabila Bottas terkeluar akibat dari masalah di hentian pit manakala Lewis Hamilton bergelut dan hanya menamatkan perlumbaan di tangga ketujuh.

Bagaimanapun Hamilton berjaya mengurangkan jurang mata dengan Verstappen apabila mencatatkan masa sepusingan terpantas dan membawa pulang satu mata tambahan sebagai bonus.

Redbull Racing merampas tempat teratas kategori pengeluar dengan kemenangan Verstappen ini dan juga kejayaan strategi hentian pit yang menyaksikan Sergio Perez berjaya melonjak ke tangga keempat walaupun bermula di tangga kesembilan.

Pasukan Aston Martin mencatatkan keputusan terbaik mereka musim ini apabila kedua-dua jentera mereka berjaya memperolehi mata apabila Sebastian Vettel menamatkan perlumbaan di tangga kelima manakala Lance Stroll di tangga kelapan manakala Esteban Ocon dan Antonio Giovinazzi menamatkan perlumbaan di tangga kesembilan dan kesepuluh.

Kemenangan pertama Verstappen di Monaco dan kedua musim ini menyaksikan beliau kini mendahului senarai keseluruhan pemandu buat pertama kali dengan 105 mata — empat mata mengatasi Lewis Hamilton.

Buat pertama kali sejak 2018 bukan pelumba Mercedes mendahului senarai keseluruhan pemandu dan bukan pasukan Mercedes AMG mendahului senarai pengeluar menyaksikan perebutan kejuaraan yang lebih terbuka.

Kemenangan Redbull ini pastinya akan mencalar ego pasukan Mercedes dan perlumbaan seterusnya di Grand Prix Azerbaijan pastinya akan dinanti-nantikan peminat sukan terpantas ini bagi menyaksikan adakah Redbull akan kekal dominan atau Mercedes kembali bangkit menguasai.

Kedudukan Pemandu Selepas GP Monaco

1. Max Verstappen – 105 mata
2. Lewis Hamilton – 101 mata
3. Lando Norris – 56 mata
4. Valtteri Bottas – 47 mata
5. Sergio Perez – 44 mata
6. Charles Leclerc – 40 mata
7. Carlos Sainz – 38 mata
8. Daniel Ricciardo – 24 mata
9. Pierre Gasly – 16 mata
10. Esteban Ocon – 12 mata

Kedudukan Pengeluar Selepas Grand Prix Monaco

1. Redbull Racing – 149 mata
2. Mercedes AMG – 148 mata
3. McLaren – 80 mata
4. Ferrari – 78 mata
5. Aston Martin – 19 mata
6. Alpha Tauri – 18 mata
7. Alpine – 17 mata
8. Alfa Romeo – 1 mata
9. Haas – 0 mata
10. Williams – 0 mata

Berkaitan ⇢