Penyanyi jadi pelakon suka ‘demand’ harga?

|

views

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pelakon, Anne Abdullah mendakwa isu ‘main harga’ iaitu kadar bayaran untuk projek drama ketara dalam kalangan penyanyi yang berjinak-jinak menjadi pelakon.

Anne berkata, keadaan itu berpunca daripada tanggapan upah sebagai pelakon sama lumayan dengan bidang nyanyian.

Bagaimanapun, katanya, artis tidak tidak boleh sewenang-wenangnya meletakkan harga kerana penerbit ada bajet tertentu.

Baginya, situasi itu tidak sama dengan persembahan nyanyian yang menawarkan puluhan ribu ringgit untuk aksi tidak sampai 30 minit.

“Bidang lakonan tidak besar, berapa banyak sangat stesen televisyen (TV) bayar kita.

“Kos menghasilkan sebuah drama boleh mencecah RM90,000 sedangkan stesen TV bayar antara RM100,000 hingga RM120,000 untuk satu drama.

“Kos itulah digunakan untuk membayar pelakon, pengarah, pekerja belakang tabir, logistik dan tempat tinggal.

Selain menjadi penerbit, Anne aktif berlakon dalam drama seperti foto ini yang dirakam di salah sebuah lokasi penggambaran di Tanjung Karang, Selangor. Foto IG Anne Abdullah
Selain menjadi penerbit, Anne aktif berlakon dalam drama seperti foto ini yang dirakam di salah sebuah lokasi penggambaran di Tanjung Karang, Selangor. Foto IG Anne Abdullah

“Jadi, kalau semua pelakon utama hendak ‘telan’, orang lain hendak makan apa?” katanya kepada BH Online.

Anne berpendapat isu kadar bayaran perlu diberi perhatian pengurus penyanyi terbabit.

“Pengurus kena ambil perhatian. Janganlah sesuka hati ‘hentam’ harga. Zaman COVID-19, undangan persembahan tiada, jadi janganlah ‘demanding’.

“Mereka kena betulkan tanggapan kerana seperti saya katakan, bidang lakonan tidak besar.

“Apatah lagi iklan di TV semakin berkurangan berikutan ekonomi yang tidak begitu baik. Jadi stesen TV kurang menjana pendapatan,” katanya.

Anne berkata, ada pelakon yang meminta antara RM3,000 hingga RM4,500 untuk satu episod drama.

“Kalau dengan mengambil mereka, drama itu boleh ‘meletup’, tidak mengapalah.

“Kebanyakan pelakon yang meletakkan harga sedemikian adalah pelakon yang mempunyai ramai pengikut.

“Tetapi jika berlakon ‘ke laut’ buat apa? Saya lebih gemar mengambil artis yang memang boleh berlakon walaupun nama tidak besar,” katanya.

Anne berkata, pelakon perlu bersikap bertimbang rasa dengan tidak meletakkan harga melampau kerana maklumat dikongsi dengan penerbit lain.

“Sebagai penerbit, kami tidak untung banyak. Sebagai syarikat status Sendirian Berhad, kami perlu melalui proses audit dan membayar cukai.

“Apatah lagi bayaran yang kami terima daripada stesen TV bukanlah serta-merta. Ada kalanya, kami terpaksa menunggu enam bulan hingga setahun,” katanya.

Anne berkata, penerbit tidak ada masalah menawarkan ‘job’ kepada pelakon yang mempunyai ramai pengikut atau bergelar ‘influencer’.

“Namun, berpada-padalah meletakkan harga. Sedangkan pelakon yang ada banyak anugerah pun tidak meletakkan harga setinggi mereka.

“Paling tinggi RM2,000 atau pelakon senior mungkin dalam RM1,500 sehari.

“Perkara ini perlu dibincangkan. Apatah lagi, wujud artis yang ambil ‘job’ di sana-sini tetapi jadual berterabur hingga menyusahkan semua orang.

“Akibatnya, produksi yang terpaksa menanggung rugi,” katanya.

Berita Harian

Berkaitan ⇢