PTPTN sedia 4 saluran baharu bayaran balik pinjaman

|

views

25 MEI: Peminjam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) boleh membuat bayaran balik menerusi empat saluran pembayaran baharu secara dalam talian.

Saluran baharu yang dilancarkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini, membabitkan Shopee, kiplePay, BESTPay dan KelantanPAY.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata kerjasama strategik PTPTN dengan empat penyedia saluran bayaran dalam talian itu bertepatan dengan gaya hidup norma baharu yang menggalakkan masyarakat menggunakan teknologi di hujung jari.

“Ia bertepatan dalam usaha mengurangkan rantaian COVID-19 dan dalam situasi pandemik yang melanda negara ketika ini, kaedah bayaran secara dalam talian adalah alternatif terbaik.

“Ini bagi membantu masyarakat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai peminjam dan dapat menyimpan dalam SSPN secara konsisten tanpa perlu keluar rumah untuk ke kaunter PTPTN.

“Pendekatan bayaran secara dalam talian ini juga sebahagian usaha ke arah pendigitalan PTPTN secara menyeluruh bagi penyampaian perkhidmatan dalam talian berbentuk hujung ke hujung (end to rnd),” katanya pada pelancaran secara maya menerusi Facebook

Ahmad Dasuki berkata, sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, PTPTN sentiasa peka dengan kehendak pelanggannya dan berharap saluran baharu itu dimanfaatkan dengan mudah, cepat serta selamat.

Beliau berkata, sempena pelancaran tersebut, turut diadakan kempen ‘Click, Pay & Earn’ yang ditawarkan istimewa kepada semua pelanggannya.

“Dengan konsep ‘siapa cepat dia dapat’, pengguna terawal menggunakan saluran ini dalam tempoh sehingga 24 Jun berpeluang mendapat pulangan menarik ditawarkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Dasuki berkata, pelanggan yang menggunakan aplikasi berkenaan untuk membuat bayaran balik pinjaman atau penambahan deposit SSPN dalam tempoh promosi berpeluang menerima pemberian syiling atau pulangan tunai.

“Misalnya Shopee menyediakan pulangan tunai 2,500 syiling bagi deposit minimum RM100 untuk bayaran atau deposit, manakala KiplePay menawarkan pulangan tunai RM20 bagi pembayaran minimum RM300 yang dikhususkan untuk 500 pelanggan terawal dalam tempoh promosi.

“BESTPay pula menawarkan ganjaran RM20 bagi 500 pelanggan terawal dan RM10 untuk 200 pelanggan berikutnya bagi setiap pembayaran atau deposit serendah RM20.

“KelantanPAY pula menawarkan pulangan tunai RM10 untuk 100 pelanggan awal yang membuat pembayaran minimum RM100 dan RM5 untuk 100 pelanggan berikutnya dalam tempoh promosi ini,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai kempen boleh dirujuk di portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.

Berkaitan ⇢