Kesihatan Gesata Stella makin merosot

|

views

Jakarta: Pelakon Indonesia, Gesata Stella, 35, terpaksa dimasukkan ke hospital selepas keadaan kesihatannya semakin merosot disebabkan menghidap pelbagai penyakit.

Berita itu dikongsikan rakan karibnya, pelakon Acha Septriasa yang mendedahkan keadaan Gesata agak membimbangkan pada masa ini.

“Keadaan kesihatan Gesa semakin merosot sejak beberapa bulan lalu. Dia mengalami kesukaran untuk makan, bernafas, mendengar, bercakap dan mengenali rakan atau keluarganya sendiri,” katanya.

Disebabkan itu, Acha bersama keluarga Gesata segera membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pelakon itu terpaksa ditahan bagi rawatan lanjut.

Menurut Acha, kesihatan rakannya itu merosot selepas satu-persatu penyakit menyerangnya.

“Gesa memang menghidap GERD, autoimmune dan hyperthyroidism yang belum sempat dirawat dengan baik kerana satu persatu menyerangnya,” katanya.

Semakan di Instagram Gesata mendapati pelakon itu memang sudah tidak sihat sejak tiga minggu lalu.

Dia juga sempat berkongsi gambar tangannya dimasukkan tiub pada 1 Mei lalu.

Gesata cukup aktif membintangi pelbagai filem antaranya Sanubari Jakarta pada 2012, Kisah 3 Titik (2013), Midnight Show (2016), Sekte (2019) dan banyak lagi.

Agensi

Berkaitan ⇢