Pasar Harian Selayang serba moden dibuka 1 Jun ini

|

views

26 MEI: Pengunjung Pasar Harian Selayang sementara bakal menikmati pengalaman beli-belah lebih baik apabila bangunan baharu pasar itu akan dibuka sepenuhnya 1 Jun ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kenyataan di Facebooknya memaklumkan, pasar sementara itu akan ditamatkan operasinya pada 31 Mei dan pihaknya giat melakukan pemantauan dan penguatkuasaan setiap hari bagi memastikan operasi pasar baharu tersebut kelak tidak terjejas disebabkan oleh peniaga warga asing.

“Seramai 11 penguat kuasa DBKL yang membuat rondaan serta hasil maklumat awam telah menyita barangan termasuk sayur dan buah-buahan milik empat peniaga warga Myanmar yang menjaja di sekitar pasar tersebut pada Selasa lalu.

“Tindakan seumpama ini akan diteruskan dari masa ke masa. Kerjasama dan maklumat awam adalah amat dialu-alukan dan diucapkan terima kasih,” dalam kenyataan hari ini.

Justeru, DBKL mengalu-alukan sebarang maklumat daripada awam mengenai kegiatan warga asing melalui saluran ke Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1 800 88 3255.

April lalu, peniaga Pasar Harian Selayang yang berniaga di tapak sementara meluahkan kebimbangan akan sambutan pengunjung di bangunan baharu berkonsep pasar moden bertingkat itu.

Mereka bimbang akan persaingan dengan pasar raya berhampiran selain masalah penjaja haram termasuk warga asing yang menjaja di luar bangunan itu secara bebas.

Perpindahan mereka ke bangunan baharu sepatutnya pada 1 April lalu, namun ditangguhkan atas permohonan peniaga yang meminta supaya beberapa penambahbaikkan ke atas bangunan baharu itu dilakukan terlebih dahulu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Berkaitan ⇢