“Jangan takut bertemu Bahrain” – Junior

|

views

PEMAIN pertahanan Junior Eldstal mengakui memang teruja kembali menyarung jersi Harimau Malaya selepas hampir lima tahun meninggalkan skuad negara.

Pemain kacukan Malaysia-Sweden ini bukanlah muka baharu dalam senarai pasukan pemain Malaysia memandangkan sebelum ini dia antara pilihan utama jurulatih pasukan kebangsaan termasuk Datuk Ong Kim Swee (Bawah 23 Tahun) dan Datuk K. Rajagobal.

Boleh bermain di bahagian pertahanan dan tengah menjadikan kelebihan buat Junior untuk membuktikan dirinya masih mampu bersaing dengan pemain-pemain baharu.

Selepas dua tahun tidak beraksi, dia nekad untuk kembali bermain dengan usaha keras bagi mendapatkan rentak sebenar. Ia dibuktikan dengan prestasi baik bersama kelab Liga Thailand, Chonburi FC sehingga kelibatnya menjadi perhatian pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

“Dipanggil menyertai skuad negara saya bagi Kelayakan Piala Dunia ini merupakan momen yang sangat istimewa.

“Selepas sekian lama, saya tidak nafikan ada tekanan, dan dalam bola sepak memang ada tekanan. Kena perlu matang. Dengan usia saya 30 tahun ini, pengalaman bermain di kelab luar akan digunakan untuk membantu pasukan negara,” jelasnya dalam sidang media harian Harimau Malaya secara atas talian pada Rabu.

Dalam pada itu, Junior mengakui perlawanan latihan dan persahabatan untuk skuad negara sebelum perlawanan sebenar Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 minggu depan.

“Ketika aksi bertemu Kuwait saya bermain selama 45 minit dan mengakui prestasi agak perlahan sedikit selepas sebulan tidak beraksi. Permainan peringkat negara agak laju berbanding dengan aksi di kelab.

“Bagaimana pun saya sudah cuba memberi yang terbaik. Selepas ini akan bertemu Bahrain yang saya percaya level pasukan ini lebih tinggi daripada UAE.

“Corak permainan Bahrain seperti bola sepak Eropah dan ianya amat bagus untuk pengalaman kepada pemain-pemain muda dan juga saya.

“Apa yang penting jangan takut dan fokus ketika di padang. Biar pun ini perlawanan antarabangsa tetapi fokus saya adalah tiga perlawanan sebenar nanti,” tambahnya.

Skuad Harimau Malaya berdepan dengan aksi pemanas badan terakhir perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Bahrain Jumaat ini.

Selepas itu, bermulalah cabaran sebenar skuad negara bertemu UAE  pada 3 Jun, diikuti Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) bagi melengkapkan perlawanan Pusingan 2 Kumpulan G.

Berkaitan ⇢