Karya baru Man Senoi

|

views

BIARPUN sudah hampir tiga dekad, lagu Fiona nyanyian kumpulan Rap pertama negara, 4U2C kekal diminati oleh peminat termasuk generasi kini.

Pasti rama tidak tahu kewujudan pasangan suami isteri iaitu komposer Man Senoi dan isterinya, Mama Rap yang menjadi insan belakang tabir mencorakkan kebangkitan 4U2C.

Selepas lama mendiamkan diri dari industri seni, pasangan ini kembali dengan lagu terbaru mereka buat peminat.

Bukan lagu genre popular seperti dahulu, sebaliknya mereka tampil memperjuangkan nasib rakyat Palestin menerusi lagu We Are One.

“Lagu untuk pasaran tempatan dan antarabangsa ini dinyanyikan Atira Rahim. Ia diterbitkan oleh Music Man dan Universal Music.

“Saya mencuba ramai juga penyanyi lain tapi Atira lebih pandai menghayati lagu ini dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

“Lagu ciptaan saya dan lirik Mama Rap ini memang ada kekuatannya tersendiri dan boleh diterima peminat,” katanya.

Menurut Man Senoi, lagu terbabit menjelaskan banyak perkara yang boleh menjadi pengajaran kepada semua pihak.

“Saya persoalkan kenapa peperangan di Palestin perlu ada banyak mengorbankan orang-orang yang tak berdosa dan kenapa bukan tentera yang terkorban?

MAN Senoi hasilkan lagu Palestin untuk kesedaran masyarakat dunia.
MAN Senoi hasilkan lagu Palestin untuk kesedaran masyarakat dunia.

“Mana perginya ketua-ketua yang bijak pandai dalam konflik itu? Kalau ikut sejarah, peperangan hanya pertaruhkan kekuatan tentera, bukan dengan sengaja mahu membunuh wanita, kanak-kanak dan orang yang tak berdosa.

“Kenapa ini berlaku? Muzik video lagu ini memaparkan kekejaman yang tak boleh dibayangkan,” katanya.

Man Senoi berkata, paling menyedihkan apabila Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya memerhati dan berada diluar pagar.

“Saya sendiri ada banyak lagi video-video lain mengenai Jerusalem dan Palestin. Biarlah dunia tahu betapa kejamnya mereka.

“Kita di Malaysia perlu bersyukur dengan apa yang kita ada,” katanya.

Sementara itu, Atira atau nama sebenarnya Nur Athirah Abdul Rahim pernah menghasilkan single berjudul Ei Ei Raya, OST Filem 8Belas – Kau Milikku, Romantis,

Beginikah Selamanya, Semesta Hati Yang Hilang dan It’s Okay! Tak Mengapa.

Dia juga terbabit sebagai penyanyi jemputan dalam single terbaru kumpulan Ukays seperti I Love You, I Miss You dan Terpaksa Kulepaskan.

Selain itu, dia juga sering menjadi penyanyi latar untuk single terbaru artis-artis tanah air.

Harian Metro

Berkaitan ⇢