Ketiadaan De Paula, peluang buat Syafiq

|

views

Harimau Malaya akan turun menentang Bahrain tanpa De Paula.

KETIADAAN penjaring gol tunggal Malaysia menentang Kuwait, Guilherme De Paula pada aksi persahabatan antarabangsa berdepan Bahrain tengah malam esok membuka peluang buat beberapa penyerang Harimau Malaya.

Nama Syafiq Ahmad antara pemain yang bakal mengisi kekosongan ditinggal De Paula dimana pemain kelahiran Pulau Pinang ini diturunkan beraksi 40 minit pada aksi latihan menentang Kuwait Ahad lalu.

Justeru, Syafiq menyifatkan ketiadaan De Paula menjadi peluang terbaik untuk dia membuktikan kemampuannya kepada barisan kejurulatihan terutamanya memikat hati pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

“Kita tahu De Paula adalah pemain yang bagus dalam liga, jadi inilah peluang untuk saya buktikan kemampuan. Saya akan buktikan apa yang pernah saya lakukan dan yang boleh saya lakukan untuk perlawanan akan datang.

“Apa yang jurulatih bagi peluang dan kepercayaan, saya akan terus lakukan apa yang pasukan perlukan di dalam padang,” katanya.

Terdahulu CAKAPSUKAN melaporkan hajat penyokong bola sepak tempatan untuk menyaksikan penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula membuat penampilan pertama bersama skuad Harimau Malaya bertemu Bahrain pada esok tidak kesampaian ekoran tempoh mastautin pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) kelahiran Brazil itu di negara menjadi genap lima tahun pada 31 Mei ini.

Terdahulu, De Paula diumumkan pemain ketiga naturalisasi negara selepas Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi pada Mac lalu.

Bagaimanapun syarat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hanya membenarkan pemain naturalisasi haruslah bermastautin selama lima tahun boleh diturunkan bersama pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun De Paula boleh beraksi untuk kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula dengan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), 4 Jun ini selepas melengkapkan syarat itu pada Isnin ini.

Syafiq diturunkan beraksi 40 minit pada aksi menentang Kuwait, Ahad lalu.

Dalam perkembangan sama, Syafiq mengakui berdepan satu tempoh yang sukar buat dirinya Disember lalu namun peristiwa berkenaan akan dilupakan seketika apabila berlatih memasuki padang.

“Pada mulanya memang satu tempoh yang sukar dan benda ini akan sentiasa ada dalam ingatan saya. Tapi bila saya sertai latihan, saya masuk padang, mungkin ketika itu saya lupakan segala masalah.

“Kita tak akan dapat lupakan apa yang sudah berlaku tapi saya banyak bercakap dengan orang yang lebih positif, jadi apa yang terjadi itu adalah takdir dan perjalanan hidup saya. Tapi buat masa sekarang adalah misi penting buat pasukan dan rakyat Malaysia,” katanya.

Penghujung tahun lalu, Syafiq melalui pengalaman pahit dalam hidupnya apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Disember tahun lalu yang mengorbankan bayi lelakinya, Muhammad Aisy Saqeef serta ibu mentuanya, Zainab Wahab dan pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti.

Berkaitan ⇢