Swirad sertai Sri Pahang FC

|

views

Swirad bakal memperkuatkan bentang Tok Gajah.

PEMAIN kacukan Malaysia-England, Nicholas Swirad sah menyertai Sri Pahang FC pada jendela perpindahan kedua pemain Liga Malaysia (Liga M).

Musim ini, Swirad yang juga bekas pemain Selangor menyarung jersi kelab Thailand, Nongbua Pitchaya dan membantu ia muncul juara Liga Dua  bakal memperkuatkan Tok Gajah sehingga berakhirnya musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kehadiran pemain ini pastinya akan memperkuatkan pasukan khususnya dibahagian benteng.

“Dia (Swirad) akan memakai jersi nombor empat, penyertaannya dalam pasukan akan memberi lebih banyak ruang dan peluang buat Ketua Jurulatih, Dollah Salleh untuk merancang strategi pasukan.

“Percaya kemampuan Dollah Salleh untuk menyusun strategi dengan kehadiran Swirad ini,” jelasnya pada sidang media majlis tandatangan kontrak, Nick Swirad bersama Sri Pahang FC  yang disiarkan secara langsung Astro Arena, sebentar tadi.

Mohammed Suffian turut memaklumkan pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung kebenaran mengadakan latihan pasukan dalam gelembung sukan.

“Ini penting bagi membentuk keserasian dikalangan pemain dalam pasukan sebelum saingan kembali berlangsung Julai nanti,” jelasnya.

Berusia 30 tahun,  Swirad merupakan rekrut kelima Sri Pahang di jendela perpindahan kedua selepas Abubakar Yakubu, Manuel Hidalgo, Kenny Athiu dan Aung Kaung Mann.

Pernah beraksi dengan beberapa kelab divisyen bawahan England sebelum berhijrah ke Liga Malaysia pada 2016 dengan menyarung jersi Johor Darul Takzim II.

Beliau kemudiannya bermain dengan Melaka United selama dua musim sebelum menyertai PKNS FC pada 2019, disusuli Selangor FC pada 2020.

Untuk musim 2021 Nick telah bersama pasukan Liga Thai Nongbua Pitchaya dan baru-baru ini membantu mereka muncul juara League 2, seterusnya layak ke divisyen utama.

Berkaitan ⇢