Hon Jian-Ee Wei tetap merendah diri, kekal fokus pada persiapan

|

views

BEREGU campuran negara, Choong Hon Jian-Toh Ee Wei tidak mahu tiga gelaran antarabangsa yang diraih mereka sejak digandingkan Februari lalu, mengubah diri mereka.

Sebaliknya, kedua-dua pemain berusia 20 tahun itu mahu kekal fokus dan akan meneruskan latihan sebaik pulang ke tanah air sebagai persedian menghadapi kejohanan seterusnya.

“Kami akan kekal merendah diri dan akan terus berlatih bersungguh-sungguh (untuk memantapkan permainan,”kata Ee Wei dalam video yang disiarkan pada laman Facebook Persatuan Badminton Malaysia hari ini.

Gandingan muda negara meraih gelaran ketiga mereka di Terbuka Austria semalam, seminggu selepas menjuarai Kejohanan Antarabangsa Sloevia serta Terbuka Poland pada Mac lalu.

Mengulas final semalam menentang wakil Perancis, William Villeger-Sharone Bauer, pasangan negara mengakui melakukan banyak kesilapan mudah di set pertama sehingga lawan menang 16-21.

“Kami hilang fokus pada akhir set pertama sehingga tewas. Selepas itu, kami berbincang dan membantu satu sama lain.

“Kami tidak menyerah dan berjuang sehingga mata terakhir,” kata Hon Jian mengenai dua set berikutnya yang dimenangi gandingan negara 21-9, 21-19.

Bagi Ee Wei, dia gembira dengan kejayaan itu selepas masing-masing memberikan aksi 100 peratus.

“Ketika lawan mendahului 6-11 di set ketiga, saya memberitahu Hon Jian, kalah atau menang kita akan bersama… kami berjuang bermati-matian di gelanggang,” katanya.

Berkaitan ⇢