Cools gandingan Aidil Zafuan

|

views

Cools (tengah) mula menjalani latihan bersama pasukan sebagai persiapan menentang UAE, 4 Jun nanti.

Oleh : Subkhi Sudarji

KERAPUHAN benteng Harimau Malaya dalam dua perlawanan sebelum ini dijangka selesai dengan kehadiran pemain berdarah campuran Belgium-Malaysia Dion Cools bagi mengharungi aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Mampu beraksi di pertahanan kanan, kehadiran Cools pastinya melegakan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe selepas mereka terpaksa melupakan khidmat Shahrul Saad yang masih mengalami kecederaan.

Pertahanan kanan kelab FC Midtjylland di Denmark itu, yang boleh beraksi di beberapa posisi, termasuk sebagai pertahanan tengah, pertahanan kiri dan pemain tengah memberi harapan buat barisan kejurulatihan negara.

Bagi Cheng Hoe , dia tidak menolak kemungkinan Cools yang mempunyai pengalaman beraksi di Liga Juara-juara Eropah itu, mungkin diberikan peluang menggalas tanggungjawab di bahagian pertahanan tengah bersama kapten Aidil Zafuan Abdul Radzak.

“Pemain serba boleh ini bagus untuk pasukan, kami barisan jurulatih gembira dengan kehadiran beliau, harap dapat beri kestabilan kepada pasukan. Memang bukan mudah untuk mana-mana pasukan untuk mencapai keserasian dalam masa yang singkat.

“Kami telah memberikan beberapa tugas untuknya, kerja rumah mengenai cara kami bermain, menunjukkan kepada beliau video aksi pasukan, gerakan taktikal dan gaya pertahanan. Saya rasa beliau seorang yang mahu belajar dan cepat belajar, kita akan terus memantau perkembangannya,” tegasnya.

Cabaran utama buat pemain berusia 25 tahun itu, yang baru menyertai kem latihan kebangsaan di Dubai pada pagi ini ialah bagi mencapai keserasian bersama 25 pemain sedia ada dalam yang masa singkat sekiranya mahu beraksi menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jumaat ini.

Berkaitan ⇢